Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Suami saya kata kami adalah golongan yang tidak mampu membuat korban kerana gaji kami cukup utk kegunaan sebulan. Tetapi saya tetap nak buat korban, dengan cara saya kumpul duit dari awal. Soalan saya, apakah hukum korban saya? Dan adakah saya berdosa kerana tidak menurut kata suami? Sedangkan berkorban itu suatu ibadah. Terima kasih.
Jawapan
Pertama sekali, niat puan untuk melakukan ibadah korban sangat mulia dan mencerminkan keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berikut penjelasan dari sudut hukum dan adab rumah tangga.
Ibadah korban merupakan sunnah muakkadah, iaitu amalan sunat yang sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan. Sekiranya seseorang tidak mampu melaksanakannya, maka tiada dosa ke atasnya. Namun begitu, sekiranya seseorang berusaha menabung dan merancang kewangan demi melaksanakan ibadah ini, maka hal itu amat dipuji dan insya-Allah akan diberikan ganjaran besar oleh Allah SWT.
Secara umumnya, seorang isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat. Namun, sekiranya suami tidak bersetuju isteri melaksanakan ibadah korban sedangkan isteri menggunakan wang sendiri tanpa menjejaskan nafkah keluarga, maka tidaklah berdosa isteri berbuat demikian. Ini kerana ketaatan kepada suami tidak boleh menghalang isteri daripada melaksanakan ibadah yang diharuskan dan dituntut oleh agama, selagi ia dilakukan dengan tertib dan tidak mendatangkan mudarat.
Sebaiknya, perkara ini dibincangkan secara berhemah dan penuh hikmah bersama suami. Puan boleh menjelaskan bahawa niat melakukan korban adalah atas dasar keikhlasan dan hasil daripada simpanan sendiri, tanpa membebankan kewangan keluarga. Pendekatan yang lemah-lembut dan bijaksana ini dapat membantu suami memahami nilai ibadah tersebut dan mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Sekian, terima kasih