Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya pasal faraid,
1- Adakah duit dividen atau hasil jual saham trading jatuh dalam kategori faraid?
2- Duit insurance nyawa jatuh dalam kategori faraid?
3- Socso ILAT di kategori yang mana?
4- Jika suami tidak sempat membuat wasiat, tapi sebelum dia meninggal, dia mengharamkan adik beradiknya menuntut harta dia untuk isteri dan anak2? adakah ini valid?
5- Duit Investment Public Mutual telah dikeluarkan dan disimpan di dalam akaun simpanan sebelum arwah meninggal, adakah ini dikategorikan sebagai harta yang perlu di faraid?
Jawapan
Secara asasnya, harta pusaka atau al-tarikah (التركة) di sisi Jumhur Ulama bermaksud segala sesuatu yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati. Harta pusaka ini dikira setelah mana ditolak segala perbelanjaan menguruskan jenazah, hutang si mati, wasiat, hibah dan harta sepencarian menurut undang-undang. Ia merupakan harta peninggalan si mati yang perlu difaraidkan kepada waris-waris yang berhak.
Merujuk kepada persoalan:
Duit dividen atau hasil jualan saham trading adalah termasuk harta yang ditinggalkan oleh si mati yang perlu difaraidkan kepada waris.
Sekiranya caruman dilakukan dalam insurans konvensional maka bayaran pokok insurans konvensional adalah termasuk dalam harta pusaka yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala dividen adalah termasuk dalam harta tidak patuh syariah dan perlu diserahkan kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri. Setelah selesai urusan pembahagian tersebut, maka harta tersebut boleh digunakan untuk sebarang urusan termasuk hibah dan wakaf. Namun begitu, jika sekiranya caruman tersebut berbentuk takaful, maka pampasan takaful tersebut adalah bukan pusaka dan merupakan hak milik bagi penama yang diletakkan atau yang dipilih oleh pihak takaful. Oleh itu anda bebas menggunakannya untuk sebarang muamalat harta yang dibenarkan syarak
Pencen ilat merupakan salah satu bentuk bantuan sosial yang diberikan oleh organisasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Malaysia kepada pekerja yang tidak lagi mampu bekerja akibat keilatan. Pencen ilat yang diterima selepas kematian arwah dikategorikan sebagai pencen terbitan iaitu pencen bulanan yang terbit disebabkan oleh kematian anggota atau pesara sektor awam, dibayar kepada tanggungan anggota atau pesara seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pencen. Jadi, ia tidak termasuk harta pusaka yang perlu difaraidkan.
Di Selangor sesuatu wasiat yang hendak dilakukan mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa dalam urusan wasiat sebagaimana ditetapkan dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 bagi mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Adalah sebaiknya urusan ini dirujuk kepada bahagian Baitulmal MAIS bahagian wasiat untuk tindakan selanjutnya supaya tidak berlaku perbahalahan antara waris yang ditinggalkan.
Selagi mana duit tersebut masih dalam milikan arwah ketika meninggal dunia maka ia merupakan harta si mati (harta pusaka) yang perlu difaraidkan walaupun duit tersebut telah dikeluarkan daripada akaun simpanan arwah.
Sekian, terima kasih.