Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti apa hukum kita beli emas online berat yang dinyatakan adalah 0.25 gram contoh,tapi berat sebenar adalah 0.29 gram iaitu lebih sikit.Adakah sah jual beli ini?
Jawapan
Urusniaga emas merupakan suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.
Elemen-elemen ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Jika berbeza jenis, maka jual beli sebagaimana yang kamu mahu asalkan diserah secara tunai. (Riwayat Muslim)
Oleh itu, berdasarkan persoalan yang diajukan, terdapat dua isu iaitu perbezaan berat emas dengan timbangan sebenar dan juga isu taqabudh atau pemilikan emas setelah bayaran dibuat:
Bagi isu pertama, sebaiknya maklumkan kepada penjual tentang perbezaan yang berlaku, bagi memastikan sama ada ianya adalah kesilapan atau ianya hadiah yang memang diberikan kepada para pelanggannya.
Bagi isu kedua, jual beli emas dalam Islam disyaratkan berlaku taqābudh (serah terima) iaitu pemilikan oleh pembeli sebaik sahaja bayaran dilakukan. Perkara ini disebut secara jelas dalam hadis Nabi SAW melalui lafaz:
Maksudnya: Tangan dengan tangan
Lafaz ini memberi maksud bahawa serahan hendaklah berlaku serta-merta tanpa sebarang penangguhan.
Namun begitu, bagi pembelian emas secara dalam talian, syarat ini boleh dipenuhi dengan taqabudh hukmi, iaitu serah terima secara hukum walaupun tidak secara fizikal. Hal ini berlaku apabila penjual mengeluarkan resit bayaran dan dokumen pemilikan emas atas nama pembeli sebaik sahaja transaksi disempurnakan. Dalam keadaan ini, pemilikan dianggap telah berpindah secara sah, dan pembeli memiliki hak penuh ke atas emas tersebut walaupun belum mengambilnya secara fizikal.
Dengan itu, jual beli emas secara dalam talian adalah harus sekiranya taqabudh hukmi ini benar-benar berlaku dan diiktiraf, selaras dengan keputusan majlis-majlis fatwa dan pandangan ulama kontemporari.
Sekian, terima kasih.