BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya tentang barang perhiasan seperti Jam tangan tertera Nama ALLAH.

apakah hukum dari segi pembeli dan juga penjual?

Ianya salah atau di bolehkan?

Sekian.

Izzat Mustaffa


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Menjual dan membeli jam tangan tertera nama Allah SWT atau tertera apa-apa bentuk zikir adalah diharuskan kerana memakainya juga adalah harus selagi mana ia dilakukan dengan penuh adab dan penghormatan kepada kalimah suci tersebut. Ini seperti perbuatan Nabi SAW yang memakai cincin tertulis namanya pada cincin tersebut. Begitu juga para Sahabat yang mempunyai cincin disertakan dengan tulisan zikir-zikir tertentu.

Membeli dan memakai jam tangan atau barang perhiasan yang tertera nama Allah adalah harus sekiranya:

  • Ia dipakai dengan niat dan cara yang memuliakan nama Allah, seperti mengingati Allah dan menzahirkan identiti Islam.

  • Ia tidak dibawa ke tempat yang tidak sesuai, seperti ke tandas, tempat maksiat atau sewaktu melakukan pekerjaan yang boleh menyebabkan nama Allah dipandang rendah.

  • Pemakai berusaha menjaga adab terhadap kalimah tersebut, contohnya menutup jam tangan sebelum masuk tandas atau menanggalkannya jika perlu.

Jika pemakai mengabaikan adab seperti membawa kalimah Allah ke tempat yang tidak suci, maka hukumnya boleh menjadi makruh atau haram, kerana ia termasuk dalam perbuatan tidak memuliakan nama Allah

Manakala dari sudut penjual barangan yang tertera nama Allah pada asasnya adalah dibenarkan, dengan syarat:

  • Penjual menyedari dan memaklumkan pembeli agar menjaga adab dan tempat penggunaannya.

  • Barang tersebut tidak dijual untuk tujuan main-main, atau kepada pembeli yang diketahui akan mengabaikan kehormatannya.

Jika penjual menjualnya tanpa memperdulikan potensi penghinaan terhadap kalimah Allah, maka ia boleh termasuk dalam perbuatan tasahul (meremehkan) syiar Islam dan ini berdosa kerana membuka ruang kepada penghinaan secara tidak langsung.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 5

message user image