BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

 ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Tuan mufti, saya ingin bertanya berkenaan dengan 'claim mileage' dan 'ot'. Apakah hukumnya menuntut 'claim mileage' mengikut kadar harga kereta sedangkan saya mengunakan motor atas arahan supervisor tanpa pengatahuan syarikat? Untuk maklumam perkara ini juga telah diarah kan kepada semua pekerja dijabatan saya dan juga lain-lain jabatan. Seterusnya berkaitan 'ot', apakah hukumnya menuntut 'ot'  lebih daripada waktu 'ot' yg sepatutnya atas arahan supervisor? Situasinya ialah syarikat menetap saya dan rakan-rakan 'ot' dari 5:30 petang sehingga 11.00 malam dan kerja telah pun selesai sebelum jam 11.00 malam akan tetapi supervisor kami telah buat penambahan masa 'ot' sehingga jam 12:30 malam agar kami diberi keringganan pada esok hari masuk kerja lewat sedikit sesuai dgn polisi syarikat ot lebih jam 12:30 boleh masuk kerja lewat jam 2 jam.

Sekian.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu

Membuat tuntutan kerja seperti mileage (tuntutan perjalanan) dan OT (kerja lebih masa) secara tidak jujur iaitu dengan menipu butiran atau mengada-adakan perkara yang tidak berlaku adalah termasuk dalam kategori pemalsuan dan pengambilan harta secara batil, dan hukumnya adalah haram di sisi syarak.

Perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah tergolong dalam khianat terhadap amanah kerja, dan boleh merosakkan integriti seseorang Muslim dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Jika perbuatan itu dilakukan secara sengaja, maka individu tersebut wajib bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Rasulullah SAW pernah menasehati Ka’ab RA,

يَا كَعْبُ بْنَ عُجْرَةَ إِنَّهُ لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: Wahai Ka’ab bin ‘Ujroh, sesungguhnya tidaklah daging (anggota badan) yang tumbuh berkembang dari sesuatu yang haram kecuali semua itu lebih berhak dibakar dalam api neraka. (Riwayat Tirmidzi).

Sebagai peringatan bersama,

- Rezeki yang diberkati ialah rezeki yang bersih. Harta yang diperoleh melalui penipuan walaupun kecil akan memberi kesan buruk kepada diri, keluarga dan pekerjaan.

- Janganlah menjual prinsip agama semata-mata demi keuntungan dunia yang sementara. Berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan dalam kalangan kami. (Riwayat Muslim)

- Menjaga amanah kerja adalah sebahagian daripada tanda iman dan takwa, dan ia akan menjadi hujah yang besar di hadapan Allah pada hari akhirat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 5

message user image