BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. ayah saya baru meninggal 8 hari yang lepas di kampung di negeri lain dan emak saya pula 12 hari selepas kematian arwah bapa saya, perlu menjalani rawatan di salah sebuah hospital di Selangor. Akan tetapi keadaan emak saya yang baru pulih dari penyakit kanser, menyebabkan emosi dia sangat tidak stabil terutama selepas kematian bapa saya. Saya nak tanya, adakah boleh saya nak bawa emak saya melakukan iddah di rumah saya di Selangor selepas dia selesai menjalani rawatan di hospital kerana saya khuatir akan keadaan emosi dan kesihatan dia yang sangat tidak stabil bila di kampung ketika ini. Walaupun ada saudara di kampung tapi sangat menyukarkan dia sekiranya perlu mendapatkan rawatan di klinik di kampung sana. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Wanita yang kematian suami, tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. 

Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

Mereka juga dilarang berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ibu puan tidak dibenarkan untuk tidak tinggal di rumah yang pada kebiasaan ibu puan tinggal melainkan dalam keadaan darurat atau terdesak. Seandainya masih ada jalan dan cara persepakatan antara adik beradik untuk menjaga ibu di kampung, maka itu yang sewajarnya. Namun seandainya tidak dapat diusahakan dan mendatangkan bahaya kepada ibu jika dia tinggal di rumahnya itu, maka diharuskan. 

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image