Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Saya ada kemusykilan dan ingin mengajukan soalan seperti berikut:
Pada tahun 2023 saya telah membeli insuran kereta di syarikat A berserta perlindungan cermin. Dalam hujung tempoh perlindungan ini, cermin kereta saya terkena batu daripada kenderaan lori dihadapkan berdasarkan bunyi letup terkena batu pada cermin kereta. Namun pada waktu itu saya tidak menganggapnya serius dan saya hanya menyedarinya selepas seminggu semasa membasuh kereta ada kesan retak pada cermin dan keretakan itu semakin memanjang bulan demi bulan.
ketika saya menyedarinya waktu perlindungan insuran daripada syarikat A telah tamat dan saya telah menyambung polisi insuran pada 2024 daripada syarikat B kerana harganya yang sedikit murah berserta perlindungan cermin. Tetapi saya yakin sewaktu kejadian berlaku, kereta saya masih dalam perlindungan insuran syarikat A.
Persoalannya, Adakah boleh saya claim insuran cermin daripada syarikat B ? sedangkan waktu kejadian kenderaan saya masih didalam perlindungan syarikat A atau adakah saya boleh claim insuran cermin daripada syarikat B sedangkan cermin yang asalnya retak sedikit tadi semakin memanjang (retak menunggu belah) semasa dalam perlindungan syarikat B?
Minta izin bantuan ustaz dalam menjawab permasalahan ini. Sekian terima kasih
Jawapan
Secara umumnya syarikat insurans hanya akan melindungi kejadian yang berlaku dalam tempoh polisi mereka berkuatkuasa. Namun dalam situasi yang disebutkan, jika dapat dibuktikan bahawa retakan itu makin teruk dalam tempoh polisi B, dan ia dianggap sebagai “kerosakan baru” (retak memanjang atau berpecah), ada kemungkinan Syarikat B boleh luluskan tuntutan.
Berbincanglah secara telus dan jujur dengan syarikat yang terlibat bagi mengelakkan tuntutan palsu kerana perbuatan tersebut termasuk dalam kategori penipuan dalam akad yang dilarang di sisi syarak.
Walaupun demikian, adalah disarankan untuk memilih pelan perlindungan di bawah sistem takaful berbanding insurans konvensional. Ini kerana takaful beroperasi berdasarkan prinsip tabarru‘ (derma) dan ta'awun (tolong-menolong) dalam kalangan peserta, manakala insurans konvensional lazimnya mengandungi unsur gharar (ketidaktentuan), riba (faedah) dan maisir (perjudian) yang tidak selari dengan prinsip Syariah.
Sekian, terima kasih.