Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum membeli memecoin yang tiada unsur haram seperti riba? Adakah ianya dibolehkan atau jatuh kategori syubhah kerana ramai yang mengatakan ianya syubhah hanya kerana memecoin tidak mempunyai "use case". Bukankah membeli barang dengan menggunakan memecoin itu boleh diambil kira sebagai "use case"? Adakah terdapat ayat di dalam Al-Quran ataupon hadis yang mengatakan sesebuah aset perlu ada "use case"? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, melabur atau membeli meme koin (memecoin) yang diyakini transaksinya tidak mempunyai riba, judi (maysir) dan ketidakpastian (gharar) adalah harus. Walau bagaimanapun, memecoin dikatakan mempunyai risiko yang menyalahi prinsip Syariah berikutan ia adalah suatu transaksi yang tidak mempunyai kegunaan yang jelas dan hanya bergantung kepada spekulasi semata-mata.
Secara umumnya, memecoin merupakan coin atau token yang popular dalam internet dan mengikut trend semasa. Ia banyak dikeluarkan dalam bentuk animasi, dipromosikan oleh para pedagang dan peminat meme tersebut. Ia merupakan suatu aset yang unik dan menyeronokkan serta dapat menarik minat pelabur untuk memilikinya. Adapun begitu, kegunaannya yang tidak jelas menjadikan transaksi yang dilakukan bertentangan dengan prinsip asas jual beli. Syarat sah bagi sesuatu barang yang di jual (mabi’) menurut mazhab Syafi’i adalah:
Hendaklah ia suci
Boleh diambil manfaat daripadanya
Diketahui sifat dan keadaannya
Mampu untuk diserahkan
Dimiliki oleh orang yang akad itu dibuat untuknya
Oleh itu, disebabkan memecoin tidak mempunyai kegunaan dan manfaat yang jelas serta mempunyai risiko kerugian sebelah pihak berikutan keuntungannya bergantung kepada spekulasi semata-mata, maka adalah sebaiknya tidak terlibat dengan transaksi ini atau transaksi yang dikhuatiri syubhah bagi mengelak terlibat dengan transaksi yang tidak patuh Syariah. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 15:
Maksudnya: Pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Secara umumnya, syarat-syarat yang ditetapkan oleh mazhab Syafi‘i dalam urusan jual beli bertujuan memastikan transaksi berlangsung secara adil, jelas dan bebas daripada unsur penipuan. Dengan mematuhi garis panduan ini, setiap akad jual beli yang dijalankan akan mencapai maksudnya menurut syarak, serta memperoleh keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Sekian, terima kasih.