Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang perkataan yang dilafazkan oleh suami saya. Ketika itu, suami saya bergurau dengan mengejek fizikal saya lalu saya pun seperti mengejek kembali fizikalnya dengan niat bergurau juga namun ianya mendatangkan kemarahan kerana ianya agak sensitif. Kemudian, suami saya cakap "Kalau tak boleh terima berpisah sahaja". Adakah ayat suami saya menjatuhkan talak? Dan apa yang perlu dilakukan sekiranya ianya menjatuhkan talak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ayat suami iaitu : "Kalau tak boleh terima berpisah sahaja", boleh dikategorikan sebagai lafaz talak secara kinayah (sindiran/ kiasan). Sekiranya suami ada niat cerai semasa melafazkan ayat tersebut, maka boleh menyebabkan jatuh talak ke atas isteri. Sekiranya suami tidak berniat cerai semasa melafazkan ayat tersebut, maka tidak jatuh talak.
Adapun, perkara berkaitan nikah, cerai dan rujuk tidak boleh dibuat main atau gurauan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah iaitu nikah, talak dan rujuk. (Riwayat Abu Daud)
Sehubungan itu, perkara ini puan boleh kemukakan ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk penjelasan dan pengesahan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.