BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbrt. Ustaz/Ustazah/Tuan/puan,

Saya ingin bertanya tentang pelupusan wang tidak patuh syariah

Saya telah membuat personal loan 10 tahun untuk melabur di satu syarikat, yang mana rupanya syarikat tersebut hanya lah ponzi scam. Syarikat tersebut telah pun lebur dan sekarang saya menanggung kerugian kerana bayaran personal loan setiap bulan. Saya sempat pendapat 'dividen'  dari pelaburan scam tersebut untuk 4 bulan.

Bagaimanakah cara untuk melupuskan wang tidak patuh syariah tersebut. Bolehkah saya memberi kepada adik kandung saya untuk yuran pengajiannya? (Direct transfer ke akaun universiti tanpa melalui tangan adik saya). Adik saya ditanggung oleh ibu (55) dan ayah (69) yang bekerja sendiri (tukang jahit) dan saya ada membantu sedikit sebanyak.

Atau sebaiknya serahkan kepada badan seperti baitulmal?

Terima kasih Ustaz/Ustazah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, memandangkan pelaburan yang disertai merupakan pelaburan yang tidak sah, maka secara prinsipnya, pelabur masih berhak untuk mendapatkan semula jumlah modal asal yang telah dilaburkan.

Sekiranya wang yang diterima itu tidak melebihi jumlah modal asal, maka ia dikira sebagai sebahagian daripada pelunasan modal, dan bukannya keuntungan. Oleh itu, wang tersebut tidak dianggap sebagai harta yang tidak patuh syariah, dan hukum menggunakannya adalah harus.

Sebaliknya, sekiranya jumlah yang diterima melebihi nilai modal asal, maka lebihan itu sahaja yang dikategorikan sebagai hasil yang tidak patuh syariah, dan wajib dilupuskan menurut kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak.

Justeru, jika jumlah yang diterima itu masih dalam lingkungan modal, ia harus digunakan untuk keperluan peribadi yang dibenarkan syarak, termasuklah bagi membiayai yuran pengajian adik atau keperluan lain yang seumpamanya.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image