BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

1. Suami seorang yang mendera secara mental - guna duit kerja untuk kegunaannya, pinjam ah long, mendera sehingga perlu jumpa psychologist (sekarang masih dalam terapi), guna kereta untuk kegunaan sendiri, tidak mengizinkan pergi kerja walaupun suami tidak mampu untuk tanggung.

2. Bukti yang perlu dikumpul?

3. Jika perkahwinan dilaksanakan di luar Selangor, adakah dibenarkan bercerai di Selangor (sudah bermastautin di Selangor sekarang)

4. Jika hendak keluar bekerja, suami tidak beri kebenaran tetapi tetap keluar. Adakah dikira nusyuz?

5. Jika sudah tidak tahan sangat, dan perlu sewa rumah lain sementara tunggu proses cerai, adakah dikira nusyuz?

Maklumbalas amat saya hargai. Jika ada nombor telefon daripada pihak Jais yang boleh saya hubungi, saya menghargai jika Tuan / Puan dapat memberikan info tersebut. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Mejawab pertanyaan puan :

1. Dalam perundangan Islam, isteri diberi hak untuk memohon pembubaran perkahwinan atau fasakh melalui permohonan di Mahkamah Syariah sekiranya suami mengabaikan tanggungjawab atau melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan isteri sama ada secara fizikal, mental atau emosi. 

2. Setiap dakwaan pasangan sama ada oleh isteri mahupun suami dalam perkara yang melibatkan pengabaian nafkah atau penderaan atau sebagainya hendaklah didatangkan bersama bukti terhadap dakwaan tersebut. Sebagaimana hadis daripada Ibn Abbas beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya. (Riwayat Al-Baihaqi)

Hadis ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan setiap dakwaan seseorang itu memerlukan kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian yakni bersumpah. Disarankan kepada puan untuk membuat aduan serta dapatkan pandangan daripada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat di mana puan tinggal.

3. Mana-mana pasangan yang telah bermastautin sekurang-kurangnya enam bulan atau lebih di Selangor boleh memohon perceraian di Selangor walaupun mereka berkahwin di luar Selangor.

4. Hukum asal seorang isteri tidak boleh keluar rumah melainkan dengan keizinan suaminya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُم بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Yang maksudnya: Apabila isteri kalian meminta izin kepada kalian untuk berangkat ke masjid malam hari, maka izinkanlah. (Riwayat al-Bukhari)

Imam an-Nawawi mengatakan, hadis ini dijadikan dalil bahawa, isteri tidak boleh keluar rumah kecuali dengan izin suaminya. Isteri juga wajib patuh dan taat kepada suaminya selagimana ketaatan itu bukan kepada perkara yang menyalahi hukum syara. Jika isteri keluar rumah tanpa keizinan suaminya, sama ada untuk bekerja atau selainnya, maka dikhuatiri ia boleh membawa kepada nusyuz (derhaka), kecuali sekiranya khuatir berlaku kemudaratan kepada dirinya atau hartanya.

Adapun sekiranya isteri akur kepada arahan suami supaya tidak keluar bekerja, maka suami hendaklah konsisten dalam menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, ini kerana nafkah itu adalah menjadi kewajipan suami menyediakannya mengikut kadar kemampuan suami. Jika suami masih berterusan tidak memberi nafkah, isteri boleh membuat permohonan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal. Isteri juga perlu menjaga maruah dan batas pergaulan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

5. Walaupun begitu, dalam beberapa keadaan isteri dibenarkan untuk keluar dari rumah tanpa izin dari suami, kerana bimbang tentang dirinya dan hartanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Fath al-Mu’in:

‌إذا ‌خافت ‌على ‌نفسها ‌أو ‌مالها من فاسق أو سارق

Maksudnya: Apabila dia bimbang terhadap keselamatan diri atau hartanya daripada orang fasiq atau pencuri.

Dalam hal permasalah rumahtangga yang berlaku sebaiknya hendaklah dibincang bersama suami isteri dengan harmoni dan berhemah, luahkan dengan perkataan yang baik-baik dengan lemah-lembut dan berhati-hati, saling nasihat-menasihati dan tidak menyakiti hati pasangan. Boleh juga dapatkan bantuan dan sokongan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Jika masalah masih berlarutan, sebaiknya perkara ini diadukan terus ke Unit Undang-undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang berhampiran tempat tinggal untuk khidmat nasihat dan tindakan yang wajar dilakukan. Boleh rujuk laman web Jabatan Agama Islam Selangor untuk maklumat lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image