Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya sudah bernikah dan penikahan ada lafaz taklid 5 tahun lepas. Pernikahan ini tidak di hadiri ibu bapa saya. Untuk menjaga hati ibu bapa saya .kami buat pernikahan secara olok2 atas talian melalui telefon bimbit (smart phone) pihak pengantin perempuan di tempat lain manakala saya di rumah ibu bapa. Semasa pernikahan olok2 yg diwakili juru nikah yg tidak bertauliah, selepas lafaz nikah, saya ada melafazkan lafaz taklid semula dengan membaca di smart phone, dan ade beberapa perkataan yang tertinggal saya pun tidak ingat sebab bertukar2 paparan di smart phone. Adakah status pernikahan saya masih sah? saya teringat perkara ini dan harap dapat menghilangkan was-was dengan memberi jawapan. Jika tidak sah, bolehkah di rujuk semula.?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, pernikahan yang dilaksanakan dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta mematuhi enakmen dan peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah, maka pernikahan tersebut adalah sah pada syarak dan diiktiraf oleh enakmen atau undang-undang yang berkuatkuasa di negeri ini. Pernikahan pertama lima tahun dahulu itu tidak akan terbatal atau menjadi tidak sah dengan wujudnya pernikahan kedua yang dilaksanakan secara olok-olok selepas itu. Ini bermakna walaupun berlaku pernikahan kali kedua secara olok-olok, namun pernikahan pertama itu adalah sah pada syarak dengan syarat ia memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan syarak.
Namun, perbuatan melaksanakan pernikahan secara olok-olok apatah lagi menggunakan jurunikah yang tidak bertauliah boleh menjadi suatu kesalahan dari sudut perundangan sekiranya ada mana-mana pihak yang membuat aduan ke mana-mana agensi agama yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran.
Sekian, terima kasih