Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya telah membuat potongan gaji bulanan untuk SSPN, 2 orang anak saudara, untuk digunakan bagi tujuan pelajaran semenjak tahun 2012. Walaubagaimanapun, anak saudara telah berhenti sekolah tanpa mengambil SPM dan sedang bekerja sekarang. Untuk pengetahuan , umur mereka adalah 18tahun ke atas. Boleh kah saya ambil semula simpanan mereka untuk.kegunaan saya, atau saya perlu serahkan kepada mereka?
Jawapan
Skim Simpanan Pendidikan N asional (SSPN) adalah satu simpanan yang dilakukan oleh Ibu Bapa pada kebiasaannya bertujuan pendidikan anak-anak. atau dalam erti kata lain, ia adalah satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi. Skim yang ditawarkan adalah patuh Syariah yang menggunakan konsep "Wakalah Bil Istithmar".
Dalam persoalan ini, jika akaun SSPN itu didaftarkan atas nama puan sebagai pendeposit dan puan juga adalah pemegang akaun (walaupun penerima manfaat adalah anak saudara), maka secara rasmi dan sah, simpanan itu adalah milik puan, dan puan mempunyai hak sepenuhnya untuk mengeluar dan menggunakan simpanan tersebut.
Namun, jka akaun tersebut didaftarkan atas nama anak saudara, dan puan hanya sebagai pendeposit, maka simpanan tersebut secara rasmi dianggap untuk kegunaan anak saudara. Sekiranya puan ingin mengambil semula wang simpanan tersebut, maka perlu meminta izin daripada mereka.
Sekian, terima kasih.