BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Terima kasih kerana menjawab pertanyaan saya ini.

Apakah hukum terhadap pegawai perubatan/pekerja perubatan beragama Islam yang bertugas di institusi perubatan swasta (atau hospital swasta), di mana pendapatan mereka dan juga pendapatan hospital didatangi daripada beberapa sumber, iaitu :

1. pendapatan hospital dan pekerja dari insurans pesakit secara konvensional

2. pendapatan hospital dan pekerja dari insurans pesakit secara takaful

3. pendapatan hospital daripada pelaburan yang tidak semestinya mematuhi syariah

 

Dan adakah perbezaan hukum sekiranya wujudnya syarat tambahan kepada situasi di atas :

1. Pekerja/pegawai perubatan tersebut tidak berkebolehan untuk mengetahui jenis-jenis insurans yang digunakan oleh para pesakit; atau

2. Pekerja berkebolehan untuk mengetahui jenis-jenis insurans yang digunakan oleh para pesakit tetapi tidak berkebolehan untuk menolak pesakit atas dasar jenis insurans yang digunakan.

 

Saya berharap soalan ini dapat dijelaskan dengan mudah, insyaAllah.

Saya ucapkan ribuan terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Secara umumnya Insurans konvensional adalah skim perlindungan yang tidak patuh syariah kerana ia mengandungi unsur-unsur seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (judi) dan riba (faedah)

Oleh itu, apa-apa keuntungan yang terhasil secara langsung dari perniagaan insurans konvensional adalah tidak halal. Dalam persoalan ini seorang pekerja perubatan yang tidak terlibat secara langsung dengan urus niaga insurans contohnya doktor yang merawat pesakit, jururawat dan petugas pentadbiran, mereka tidak dianggap terlibat secara langsung dengan urusniaga insurans yang berlaku. Justeru, pendapatan mereka adalah halal.

Manakala sekiranya hospital atau syarikat induknya melabur dalam instrumen tidak patuh syariah seperti saham syarikat arak, perjudian atau riba, maka ia adalah satu bentuk pelaburan yang haram dan dosanya ditanggung oleh pihak pengurusan yang bertanggungjawab membuat keputusan berkaitan perkara tersebut.

Namun begitu, selagi mana pegawai perubatan atau pekerja hospital tidak terlibat secara langsung dalam pelaburan tersebut, dan gaji mereka dibayar atas kerja dan tugasan yang mereka lakukan maka gaji mereka adalah halal.

Dalam situasi para pekerja perubatan mengetahui atau tidak mengetahui jenis perlindungan yang diambil oleh pesakit sama ada melalui insurans konvensional atau skim takaful, maka perlu difahami bahawa tanggungjawab akad perlindungan itu terletak sepenuhnya di bahu peserta atau pesakit, dan tidak menjadi tanggungjawab atau beban syarak kepada pasukan perubatan yang memberi rawatan.

Hal ini kerana yang melakukan akad dengan pihak penyedia insurans ialah pesakit itu sendiri, manakala kakitangan perubatan hanya menjalankan tugas profesional merawat pesakit, bukan terlibat dalam urusan akad muamalat antara pesakit dan syarikat insurans.

Berdasarkan situasi yang diterangkan, didapati pendapatan yang diterima adalah dari sumber yang bercampur antara sumber yang halal dengan haram. Sebaiknya usahakan untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih dijamin halal sumbernya. Namun begitu, melihat kepada realiti semasa dan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang benar-benar bebas daripada elemen syubhah, maka hukum kekal bekerja dalam institusi tersebut adalah diharuskan, selagi mana individu tersebut tidak terlibat secara langsung dalam urus niaga yang bercanggah dengan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 5

message user image