BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ketika saya mandi wajib terdapat deodorant yang terdapat di ketiak saya, kemudian saya mencucinya dengan micellar water lalu saya membasuhnya dengan air mutlak tetapi bau daripada deodorant tersebut masih ada. Saya telah menggunakan micellar water untuk membersihkan deodorant tersebut tetapi baunya masih ada maka saya hanya teruskan sahaja mandi wajib tersebut sehingga selesai .

Kemudian saya memakai baju dan pergi makan. Ketika makan saya berasa was was dengan mandi wajib saya kerana bau deodorant tersebut masih ada. Maka saya pergi ke bilik air dan mencuci ketiak saya dengan micellar water sekali lagi dan mencuci dengan air untuk meneruskan mandi wajib saya.Selepas mencuci dengan air semula, saya kemudian meletakkan sabun pada ketiak saya agar deodorant itu benar benar hilang tetapi bila saya mencucinya dengan air, bau sabun tu pula tak hilang, lama jugak saya cuci tapi bau sabun itu masih ada.

1) Soalannya adakah sah mandi wajib saya sekiranya bau sabun atau deodorant masih ada walaupun telah mencucinya.

2) Adakah mandi wajib saya sah sekiranya saya menyambung mandi wajib selepas makan dan buang angin.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

Tidak disyaratkan untuk menghilangkan kesan wangian pada badan sebelum memulakan proses mandi wajib. Aspek penting dalam mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan kerana ini merupakan salah satu syarat keabsahan mandi tersebut. Oleh itu, kesan-kesan tersebut boleh dihilangkan semasa proses meratakan air ke bahagian badan setelah berniat untuk mandi wajib.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.

1) Oleh itu, mandi wajib yang dilakukan adalah sah dan tidak perlu diulang semula. Ini kerana, saudara telah cuba untuk menghilangkan kesan deodorant itu dengan menggunakan micellar water. 

2)  Dalam situasi yang dialami, saudara tidak perlu untuk mengulangi mandi wajib.

Walau bagaimanapun, sebagai maklumat, menyambung mandi wajib dalam tempoh yang tidak lama menurut adat, walaupun selepas makan dan buang angin, dan dengan niat menyambung mandi wajib adalah diharuskan. Dalam mazhab Syafi‘i, berturut-turut (muwalat) dalam mandi tidak disyaratkan seperti dalam wuduk. Sebaliknya ia adalah sunat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image