Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Yang Berbahagia Dato' Dr,
Saya ingin memohon pandangan atas kemusykilan saya dan rakan pekerja beragama Islam sekarang ini kerana majikan kami telah menerima projek baru yang barang equipment kejuruteraan utk perkhidmatan pemasangan di syarikat O&G di Malaysia dan luar negeri. Barangan tersebut adalah produk keluaran Israel dan hanya mereka sahaja yg mengeluarkan alat ganti bagi produk tersebut dan di Malaysia cuma majikan kami sahaja yang mendapat projek tersebut. Majikan kami beragama Islam dan majoriti pekerja pun beragama Islam.
Memandangkan keadaan kewangan syarikat yang tidak stabil dan mempunyai hutang sejak awal thn lepas termasuk hutang caruman pekerja kepada badan berkanun, mungkin majikan mengambil projek tersebut untuk mendapat profit margin yang banyak. Masalahnya, kami tidak mengetahui bahawa projek tersebut mendapat bekalan barangan alat ganti dari Israel kecuali pasukan projek yang berkaitan. Tetapi akhirnya, pekerja dalam pasukan tersebut menyuarakan kebimbangan kepada kami. Kami telah menyuarakan ketidakpuasan hati kami sebagai pekerja terhadap pihak pengurusan kerana kami merasakan bahawa isu ini adalah sesuatu yang berat, khususnya berkaitan dengan keberkatan rezeki kami pada masa akan datang.. Pihak pengurusan ambil maklum, mereka telah memadamkan segala komunikasi dengan freelance dari Israel dan dengarnya akan berurusan secara langsung dengan pihak ketiga di Vietnam. Namun, barangan tersebut tetap datang dari Israel walaupun mempunyai syarikat cawangan di US dgn pegangan saham terbesar dari Jepun, bukan lagi Israel.
Sehubungan itu, saya memohon pandangan dan pencerahan daripada Dato Dr berkenaan keberkatan rezeki kami dalam situasi ini, serta apakah tindakan yang wajar kami ambil. Adakah meninggalkan syarikat merupakan jalan terbaik?
Sekian, terima kasih atas perhatian dan pandangan Dato Dr.
Yang benar,
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, secara umumnya Islam tidak mengharamkan urus niaga atau jual beli dengan orang bukan Islam, termasuk golongan Yahudi dan Nasrani, selagi mana tidak melibatkan unsur yang diharamkan seperti penindasan, kezaliman, atau sokongan terhadap kejahatan.
Namun begitu, apabila sesuatu urus niaga secara langsung atau tidak langsung memberi manfaat kepada rejim yang zalim dan memusuhi Islam, seperti rejim Zionis Israel, maka para ulama kontemporari bersepakat bahawa wujud keperluan untuk menjauhkan diri daripada sebarang bentuk sokongan atau kerjasama yang boleh menguatkan kedudukan rejim tersebut – meskipun hukum boikot itu tidak sampai ke tahap wajib secara mutlak.
Dalam hal ini, umat Islam disarankan untuk mengamalkan sikap tabayyun (penelitian) yang adil dan berimbang dalam menilai maklumat serta membuat keputusan, terutamanya dalam isu pemboikotan. Keputusan untuk memboikot sesuatu syarikat atau produk mestilah dibuat:
Berdasarkan maklumat sahih daripada sumber yang dipercayai,
Setelah menilai secara objektif maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kemudaratan),
Dan dilakukan secara bersasar supaya usaha tersebut mencapai matlamat yang diingini.
Pada masa yang sama, usaha pemboikotan juga perlu disusuli dengan tindakan membina, seperti mempromosikan dan memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan dan perniagaan Muslim yang dapat memberi kesan jangka panjang kepada kekuatan ekonomi ummah.
Lebih penting lagi, tindakan ini hendaklah dilakukan dengan akhlak dan adab Islam, tidak melibatkan perbuatan mencela individu, menjatuhkan maruah atau sabotaj yang bercanggah dengan etika Islam.
Tindakan tuan dan rakan-rakan menyuarakan kebimbangan serta mendesak agar syarikat membatalkan hubungan langsung dengan pembekal dari Israel merupakan tindakan terpuji dan menepati tuntutan agama. Kesan desakan tersebut, seperti mana yang dilaporkan, telah mendorong pihak pengurusan untuk menamatkan komunikasi langsung dengan syarikat terbabit.
Walaupun syarikat pihak ketiga itu masih berkait dengan produk Israel, namun dalam situasi tiada alternatif lain dan pengeluar asal hanyalah dari Israel, maka keharusan dibenarkan dalam keadaan tiada pilihan yang lebih baik.
Sekiranya tuan dan rakan-rakan tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan pengurusan, dan tidak terlibat secara langsung dengan urus niaga tersebut, maka tidak berdosa ke atas kalian. Malah, pendapatan yang diterima tetap halal dan tidak menjejaskan keberkatan, dengan syarat tidak meredhai kezaliman dan terus istiqamah dalam menyuarakan yang hak.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Sekiranya meninggalkan pekerjaan ini akan menyebabkan kesan lebih buruk kepada keperluan asas kehidupan, maka diharuskan untuk terus bekerja dalam syarikat tersebut, sambil meneruskan usaha memperjuangkan prinsip keadilan dan solidariti kepada saudara seagama dengan cara yang hikmah dan berstrategi.
Semoga segala usaha dan pendirian ini mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT, serta menjadi sebahagian daripada sumbangan kita dalam membela hak umat Islam secara bijaksana dan terhormat.
Sekian, terima kasih