BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

saya berhajat untuk membawa isteri saya yang sah membuat prosuder filler payudara. justeru saya mohon untuk mendapatkan pengesahan dari segi hukum agama. tujuan saya ialah bagi mengeratkan lagi hubungan kami suami isteri.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

Secara asasnya prosedur suntikan filler pada payudara termasuk dalam kategori rawatan kosmetik yang melibatkan perubahan pada bentuk tubuh manusia. Maka ia termasuk dalam perkara yang disebut sebagai Taghyir Khalqillah iaitu merubah ciptaan Allah SWT. Justeru hukumnya adalah haram. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، ‌الْمُغَيِّرَاتِ ‌خَلْقَ ‌اللَّهِ

Maksudnya: Allah SWT melaknat wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta dicukur bulu kening, wanita yang meminta dicacah tatu, dan wanita yang menjarakkan gigi dengan tujuan kecantikan, dan mengubah ciptaan Allah SWT.

Sekiranya prosedur tersebut dilakukan kerana keperluan perubatan contohnya untuk merawat kecacatan akibat kemalangan, penyakit, atau ketidakseimbangan tubuh yang menyebabkan tekanan emosi maka ia boleh diharuskan dengan syarat bahan yang digunakan adalah suci, selamat, dan tidak memudaratkan tubuh dalam jangka panjang. Namun, jika ia dilakukan semata-mata untuk tujuan kecantikan tanpa keperluan yang dibenarkan syarak, maka hukumnya adalah haram kerana ia termasuk dalam pengubahan ciptaan Allah SWT tanpa sebab yang dibenarkan.

Sekalipun tujuannya adalah untuk tujuan mengeratkan hubungan antara suami isteri, namun ia adalah sebuah matlamat yang tidak menghalalkan cara kerana mencari keharmonian rumah tangga perlu dilakukan melalui pendekatan yang memenuhi tuntutan syarak. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image