Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya hukum mengikat rahim ataupun procedure BTL untuk situasi macam saya. Saya dan suami merupakan pembawa talasemia, kami mempunyai dua orang anak dan sekarang saya mengandung 5 bulan.
Situasi kami, anak pertama merupakan pesakit tahalasemia yang memerlukan transfusi darah sebulan sekali bermula dia berumur 1 tahun - 4 tahun dan sekarang dalam rawatan bone marrow transplant untuk merawat thalasemia, anak ke 2 merupakan pembawa thalasemia dan penderma bone marrow kepada abangnya. Manakala, anak ke3 di dalam kandungan, kami dah periksa status thalasemia melalui procedure amniocentesis iaitu pengambilan air ketuban dan keputusan anak bebas dari thalasemia iaitu normal.
Kami bercadang selepas melahirkan anak ke3, kami hendak merancang keluarga dengan memgikat rahim dan kami takut jika kelahiran seterusnya anak akan menjadi pesakit thalasemia sebagaimana abang yang pertama dan jika ya, kami tak tahu kami mampu untuk menjalani ujian yang sama sekali lagi.
Sebelum ini kami dah cuba perancang suntikan depo, IUCD dan rancang sendiri tapi rezeki Allah bagi kami masih dikurniakan anak.
Dari segi hukum agama Islam, bolehkah kami meneruskan untuk ikat rahim?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa merujuk kepada Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-12 yang bersidang pada 20 Februari 1977 telah membincangkan perihal Rancangan Keluarga. Persidangan telah memutuskan bahawa Rancangan Keluarga mengandungi tiga bahagian, iaitu:
(a) Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
(b) Mencegahkan beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.
(c) Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada (a) dan (b) di atas adalah harus.
Berdasarkan keputusan di atas hukum asal mengikat salur peranakan dengan tujuan untuk tidak mendapatkan zuriat adalah diharamkan kerana ia bertentangan dengan fitrah serta bertentangan dengan maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Sa`id bin Hilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di hari kiamat. (Riwayat Abdurrazzaq dalam Musannaf)
Namun demikian, merancang kehamilan dengan kaedah mengikat rahim adalah harus dan dibenarkan sekiranya telah mendapat nasihat daripada doktor pakar muslim bahawa berkemungkinan jika hamil lagi boleh membahayakan nyawa ibu atau bayi yang dikandung.