Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz,
Saya ada pertanyaan. Saya telah berkahwin dgn suami pada 2015, sewaktu saya mengandungkan anak pertama pada 2016, suami telah sebut dengan jelas perkataan 'aku ceraikan kau'. kemudian saya telah mengadukan perkara ini kepada kadi yang menikahkan kami dan dihadapan kadi, kami telah ruju semula. setelah melahirkan, suami ada menceraikan saya dengan lafaz yang sama sewaktu bertengkar. apabila saya mengadukan kepada kakak ipar dan kakak ipar saya bertanya kepadanya, dia tidak mengaku. suami sering bertindak begitu, menceraikan saya, kemudian menafikan lafaz cerai itu. sewaktu lafaz penceraian, saya tidak ada saksi, hanya saya. Penafian suami membuat saya keliru dengan apa yang saya dengar kerana saya dalam keadaan emosi. Berpegang kepada pengakuan suami yang menyatakan dia tidak ada melafazkan cerai, sy meneruskan perkahwinan dengannya. Pada tahun 2020, saya mengandung anak kedua dan anak itu perempuan. setelah melahirkan, suami telah bertindak curang dan meninggalkan saya. Dia telah menyatakan kepada teman wanitanya bahawa dia dengan saya telah lama bercerai . Dia mengaku dengan wanita tersebut yang dia telah melafazkan cerai berkali-kali dan anak perempuan saya dia melabelkan dengan perkataan 'anak syubhah' kerana tidak diketahui status nasab nya. Perkara ini tidak diketahui saya pada mulanya dan setelah saya mengetahui, saya telah membawa isu ini ke mahkamah syariah. Dihadapan mahkamah, suami sekali lagi menafikan lafaz cerai nya terhadap saya. Mahkamah mengambil kira penafiannya dan memutuskan kami masih suami isteri pada ketika itu. Setelah keluar dari mahkamah, dia mengaku di hadapan saya bahawa dia menafikan kerana tak mahu melepaskan saya dari perkahwinan ini. Kami tidak lagi serumah kerana saya takut berada dalam pernikahan yang tidak lagi sah.
Soalan saya, sewaktu saya ingin menikahkan anak perempuan saya, bolehkah saya menggunakan wali hakim? saya takut pernikahan saya dan suami telah lama terbatal oleh lafaz-lafaz cerai suami yang tidak diketahui saya. Saya takut jika saya menggunakan bapa nya sebagai wali, atau andai bapa meninggal, anak pertama saya sebagai wali, pernikahan anak perempuan saya mungkin tidak sah dan ini melibatkan soal keturunan dan nasab.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Sekiranya suami menafikan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah bahawa dia tidak menceraikan isterinya dan puan sebagai isteri pula tidak dapat mendatangkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut dan hakim juga ada memerintahkan suami untuk bersumpah syari'e menafikan berlakunya lafaz talak. Bilamana hakim memutuskan talak tidak berlaku, maka pasangan hendaklah patuh dengan keputusan tersebut dan pasangan kekal sebagai suami isteri.
2. Sekiranya isteri tidak berpuas hati dengan keputusan hakim tersebut, isteri ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan hakim tersebut.
3. Sekiranya isteri tidak mahu membuat rayuan atau selainnya, maka isteri boleh membuat tuntutan fasakh atau taklik sekiranya dapat dibukti sebarang pengabaian atau kecurangan pihak suami.
4. Berkaitan perwalian nikah bagi anak perempuan puan, suami puan berhak untuk menjadi wali kepada anak tersebut selagi mana tiada pengesahan atau pensabitan yang membuktikan anak tersebut adalah tidak sah taraf atau suami puan hilang kelayakan bapa sebagai wali.
Terima kasih.