Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaumualaikum .....Sya ingin bertanya...tentang iddah seorang isteri yg telah kematian suami adalah selama 4 bln 10 hari. Saya telah kematian suami baru baru ni... semasa hayat suami sya kami tinggal menyewa rumah. Adakah sya wajib tinggal dirumah sewa sekarang sehingga habis iddah atau saya boleh berpindah kerumah sewa yang lain kerana rumah sekarang cuma ada 2 bilik dan rumah kecil tidak selesa didiami kerana ibu dan bapa saya datang tinggal bersama kami kerana mereka pun menyewa rumah jadi selepas kematian suami mereka memutuskan untuk tinggal bersama sama.. dan juga anak saya tidak selesa untuk belajar kerana rumah kami kecil tiada ruang untuk belajar dan anak saya akan menduduki spm pada tahun ini... tambah lagi rumah yg diduduki sekarang telah banyak kerosakan seperti atap bocor dan dinding cepat berkulat kerana keadaan dinding yang lembab.. sudah berkali2 maklum pada tuan rumah untuk membaiki dr arwah suami masih hidup tp sampai sekarang tiada tindakan baik pulih..mohon penjelasan...memandangkan kami telah dapat rumah sewa yang baru yg lebih sesuai untuk kami tinggal bersama, adakah saya terpaksa menunggu sehingga eddah selesai untuk berpindah rumah sewa.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam al-Baqarah ayat 234:
Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari.
Wanita yang sedang ber’iddah kematian suami juga diwajibkan untuk tinggal dan duduk di rumahnya (al-mahrum suami) sehingga tamat ‘iddah, selagi mana tidak takut serta bimbang akan diri, agama dan maruahnya.
Dalam tempoh iddah, seseorang wanita tidak boleh keluar dari rumahnya melainkan dharurah (mendesak) atau hajat yang penting seperti ke hospital untuk rawatan, dan ke kedai membeli makanan sekiranya tiada orang lain yang boleh membelikan untuknya. Maka hajat dan dharurah membenarkan wanita yang sedang ihdad untuk keluar daripada rumahnya. Namun keharusan ini hanya pada waktu siang sahaja dan tanpa bermalam di rumah lain. Terdapat dalil yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa, ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing.
Berdasarkan hadis ini, wanita yang dalam ihdad dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika dharurat (terpaksa). Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
Merujuk kepada persoalan dan situasi yang diberikan, perpindahan kepada rumah baru dibolehkan bagi mengelakkan kemudaratan dari segi kesihatan dan keadaan rumah yang lama dan tidak sesuai didiami.
Sekian, terima kasih.