Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya mendapat tahu suami ada berhubung dengan wanita lain ketika saya sedang beriddah talak raji'e. Kami masih tinggal sebumbung. Suami mengatakan baru mengenali wanita tersebut 2 hari dan wanita itu bersedia menjaga suami dan anak-anak. Wanita tersebut pulak mengatakan saya tiada hak untuk ambil tahu kerana telah bercerai (sedangkan masih dalam iddah). Apakah hukum perbuatan mereka kerana suami beranggapan dia boleh berhubungan dengan wanita lain hattan berkahwin dalam tempoh tersebut tetapi melarang saya untuk ada hubungan dengan lelaki lain. Mereka berhubung seperti pasangan bercinta, berwasap dan bertelefon hingga ke pagi. Adakah saya boleh mendakwa wanita tersebut sebagai orang ketiga kerana menyebabkan suami tidak mahu rujuk saya semula.
Jawapan
Pada asasnya suami atau lelaki tidak mempunyai iddah kerana iddah ini hanya dikhususkan kepada perempuan sahaja. Mana-mana suami yang telah menceraikan isterinya dengan talak rajie dan kemudian dia hendak berkahwin dengan wanita lain ketika bekas isterinya masih dalam tempoh iddah, maka suami itu boleh memohon poligami di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu.
Dalam isu berkaitan sama ada puan boleh mendakwa perempuan itu menjadi orang ketiga yang boleh menyebabkan bekas suami tidak mahu rujuk semula dengan puan, maka perkara ini puan boleh membuat aduan di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan untuk dijalankan sesi rundingcara atau khidmat nasihat bersama pasangan terlebih dahulu dan sekiranya ada kewajaran dan kemunasabahan dari sudut undang-undang, pihak Pejabat Agama Islam Daerah boleh memanjangkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah.
Terima kasih.