Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pada 12 jun Sy Dan suami telah bertengkar,dan suami hilang kawalan,lalu memberi sy 2 pilihan. Pilihan Pertama,masih bersama tapi dengan syarat tak boleh cek fon dia,kalau cek fon dia jatuh talak 3. Pilih kedua pula,kau tak duduk dgn dgnaku,pergi la balik kampung ke atau rumah adik2.
pada mula nya sy telah membuat pilihan pertama, selepas beberapa jam sy membuat pilihan kedua, tp selepas keadaan reda suami bgagitahu dia tidak niat utk bercerai pn pada syarat kedua.
soalan sy macam mana status perkahwinan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan oleh puan, berdasarkan pilihan yang ditawarkan oleh suami, penjelasan hukum adalah seperti berikut:
1. Pilihan Pertama:
Sekiranya puan memilih untuk kekal bersama suami, maka status perkahwinan antara puan dan suami masih lagi sah sebagai suami isteri. Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa terdapat lafaz taklik yang ditetapkan oleh suami, iaitu sekiranya puan memeriksa telefon suami, maka akan jatuh talak tiga. Dalam hal ini, selagi mana puan tidak melanggar taklik tersebut, maka talak tidak berlaku dan perkahwinan masih kekal.
2. Pilihan Kedua:
Ucapan suami seperti "Kau tak duduk dengan aku, pergilah balik kampung ke atau rumah adik-beradik" boleh termasuk dalam kategori lafaz kinayah dalam bab talak. Lafaz kinayah ialah lafaz yang boleh membawa maksud cerai, tetapi tidak secara jelas. Maka, hukum lafaz tersebut bergantung kepada niat suami ketika melafazkannya. Sekiranya suami berniat untuk menceraikan, maka talak akan jatuh. Namun, jika suami tidak berniat cerai, maka talak tidak berlaku.
Sehubungan itu, perkara ini hendaklah dikemukakan terus ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk penjelasan selanjutnya oleh Pegawai Agama yang berkaitan.
Sekian, terima kasih.