BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Soalan saya adalah berkenaan dengan lafaz taklik. Ibu saya telah menfailkan cerai terhadap ayah saya. Ibu saya memberi syarat sekiranya proses tersebut hendak ditarik semula, ayah saya mestilah melafazkan taklik sesuai keinginannya. Lafaz taklik tersebut berbunyi begini,.."Akan terjatuh talak ke atasnya sekiranya saya(ayah saya) mempunyai hubungan terlarang dengan wanita yang bernama xx, atau mana mana wanita lain, atau mendera atau menyentuh fizikalnya." Saya ingin tahu adakah lafaz taklik yang diminta oleh ibu saya ini dibenarkan dan sah di sisi agama Islam. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan saudari, secara umum penceraian adalah suatu yang sangat tidak digalakkan di dalam Islam. Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ»

Bermaksud: Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talaq. (Riwayat Abu Daud)

Seorang isteri dilarang memohon penceraian tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak sebagaimana hadis daripada Thawban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

«أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ، فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ»

Mana-mana isteri yang meminta cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan, haram ke atasnya bau syurga. (Riwayat Abu Daud)

Walau bagaimanapun, seandainya terdapat perkara yang menyebabkan kemudharatan, kezaliman atau penganiayaan di dalam perkahwinan seperti suami tidak memberi nafkah atau memukul Isteri atau sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh syarak, maka Islam membenarkan penceraian.  

Merujuk kepada soalan yang diajukan, permintaan ibu puan kepada ayah puan untuk melafazkan taklik talak seperti yang dinyatakan dengan tujuan menjaga maruah serta agama suami, atau dengan tujuan menjaga kerukunan keluarga atau mencegah kemudharatan kepada ibu puan, maka ia diharuskan.

Lafaz taklik yang dicadangkan: "Akan terjatuh talak ke atasnya sekiranya saya (ayah saya) mempunyai hubungan terlarang dengan wanita yang bernama xx, atau mana mana wanita lain, atau mendera atau menyentuh fizikalnya.", talak akan berlaku jika suami menyentuh mana-mana perempuan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Syarat ini mungkin perlu diperjelaskan kerana ia mungkin sukar dielakkan jika suami tersentuh wanita dengan tidak sengaja.

Sebaiknya puan atau ibu puan merujuk perkara ini kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat untuk mendapatkan nasihat serta bimbingan. 

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 76

message user image