Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum ustaz , saya nak bertanya tentang lafaz taklik , pada 19/12 saya melafazkan taklik kepada isteri saya " kalau keluar malam ni jatuh talak " adakah sah talak tersebut ? niat saya hanya tak beri keluar pada malam tersebut sahaja pada sehingga pukul 1:32 pagi , selepas itu saya izinkan isteri saya keluar kembali dan isteri saya keluar atas keizinan saya sendiri ? adakah jatuh talak tersebut ?
Jawapan
Lafaz yang diungkapkan oleh suami kepada isteri: "Kalau keluar malam ni jatuh talak" adalah lafaz sorih atau jelas yang mengaitkan berlaku talak jika isteri keluar rumah pada malam itu sahaja. Sekiranya suami berniat atau mengkhususkan tempoh tertentu pada malam itu, maka taklik tersebut terikat dengan niat suami. Oleh itu, sekiranya suami berniat mengkhususkan malam itu hingga pukul tertentu seperti pukul 1.32, jika isteri keluar rumah selepas dari waktu tersebut, maka ia tidak lagi terikat lagi dengan taklik tersebut, dan talak tidak berlaku.
Untuk mendapatkan kepastian serta bimbingan selanjutnya, tuan boleh merujuk kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Daerah yang terdekat. Ini kerana pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu lafaz talak atau taklik talak itu adalah sah adalah pihak Mahkamah Syariah.
Terima kasih.