BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt, 

Saya ingin bertanya mengenai saya telah berkahwin dengan bekas suami di Siam (tidak didaftarkan di Malaysia). Dia menceraikan saya dan merujuk saya pada bulan 3 iddah dimana saya tahu itu adalah sah. Tetapi saya tidak mahu kembali kepadanya dan kami tidak berjumpa lagi selepas dia lafaz rujuk. Tidak bersama juga. Saya hanya menyifatkan dia suami yang fasik dimana telah berzina dengan perempuan lain. Selepas rujuk itu juga, dia telah mengekori saya dan melakukan kerosakan barang2 saya seperti motor, basikal anak saya, pecahkan tingkap rumah. Saya merasa terancam dan takut sehingga saya mendapat anxiety. Saya laporkan juga kepada polis. Adakah cara dia itu telah memudaratkan atau menzalimi saya ?  Dalam masa iddah dan habis waktu iddah dan juga waktu rujuk kami mmg tidak tinggl sebumbung. tiada persetubuhan. Sekarang saya merancang untuk berkahwin lain. Bagaimana dengan penceraian kami ini ? Adakah masih sah ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara umum, lafaz rujuk yang dilakukan oleh suami kepada isteri semasa di dalam tempoh iddah masih berjalan adalah sah walaupun tanpa keredhaan atau keizinan daripada isteri. Tidak disyaratkan berlaku hubungan persetubuhan di antara suami isteri untuk menjadikan rujuk itu sah. Sekiranya isteri tidak bersetuju atau tidak redha dengan rujuk tersebut, isteri berhak memohon fasakh di Mahkamah Syariah dengan memberikan alasan atau sebab-sebab yang diharuskan seperi suami memudharatkan isteri sama ada secara fizikal, emosi atau harta benda. 

Merujuk kepada kenyataan yang diberikan bahawa suami telah melakukan rujuk dalam tempoh iddah, maka rujuk yang dilakukan adalah dibenarkan oleh syarak. Walau bagaimanapun, pihak yang berautoriti dan berbidangkuasa untuk menentukan suatu rujuk itu sah atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah. Memandangkan pernikahan puan telah dilakukan di negara luar, ia perlu disah dan didaftarkan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah di Malaysia, sebelum perkara tersebut dapat dibicarakan atau diputuskan. 

Pilihan lain, puan boleh memohon fasakh atau permohonan cerai di pejabat Agama di mana puan bernikah dahulu. Puan tidak dibenarkan untuk bernikah dengan lelaki lain sehingga dapat dipastikan telah berlaku penceraian atau fasakh dari pihak yang berautoriti tersebut

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 84

message user image