Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya wanita berumur 31 tahun, mempunyai bayi 6 bulan (menyusu badan - secara eksklusif) dan seorang isteri, ingin bertanya tentang kemampuan dan kewajipan menunaikan ibadah haji. Saya mempunyai wang simpanan Tabung Haji RM17k dan ASB RM41k (simpanan khas untuk waktu pencen - khuatir duit KWSP tidak mencukupi pada waktu bersara kerana kos perbelanjaan sekarang yang tinggi). Saya menyimpan selama 7 tahun (gaji sekarang RM3k, dahulu RM2.5k)
1. Adakah saya dikira mampu dan wajib untuk menunaikan haji dengan menggunakan kos kategori T20 (kos lebih kurang 35k – berpandukan laman web tabung haji) atau menunggu giliran haji kategori B40 (kos lebih kurang 15k - waktu menunggu yang sangat lama)
2. Saya mempunyai seorang suami, adakah boleh saya menunaikan haji tanpa beliau? Tetapi, saya tidak mempunyai orang lain yang boleh pergi haji bersama (mahram) mahupun teman/keluarga lain.
3. Atau saya harus tunggu apabila mereka cukup simpanan haji/mempunyai kenalan/ahli keluarga/mahram/kawan Perempuan untuk menunaikan haji bersama-sama
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya wanita yang menyusukan anak tidak gugur kewajipan hajinya semata-mata kerana menyusu jika dia memenuhi syarat-syarat berikut:
Antara syarat wajib haji adalah:
Ada kemampuan fizikal (sihat tubuh badan)
Ada kemampuan kewangan
Ada pengurusan selamat untuk anak yang ditinggalkan (suami, penjaga, susu cukup)
Ada mahram atau rombongan wanita yang thiqah (dipercayai).
Maka, menyusu badan secara eksklusif tidak menggugurkan kewajipan haji, kecuali jika:
Tiada siapa yang boleh menjaga bayi sepanjang tempoh haji
Menyebabkan mudarat serius kepada bayi atau ibu sendiri
Menyebabkan tekanan emosi dan kesihatan kepada ibu dan anak
Jika ada mudarat yang jelas dan nyata, maka ketika itu haji boleh ditangguhkan sehingga keadaan benar-benar stabil dan selamat.
Soalan Pertama:
Antara syarat Istito'ah (berkemampuan) yang dibincangkan dalam Resolusi Muzakarah Haji ke 35 pada tahun 2018:
Istito’ah ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan) dan amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji). Justeru mempunyai wang yang cukup dengan jumlah harga semasa adalah di antara syarat Istito’ah yang penting tanpa bergantung kepada sumber lain termasuk kewangan yang mencukupi sebelum, semasa, dan selepas menunaikan haji. Dengan mengambil kira jumlah pendaftaran haji yang sangat tinggi (lebih 3 juta orang) dan tempoh menunggu yang terlalu lama (114 tahun), adalah perlu dikaji semula sistem pendaftaran haji dan pemilihan bakal haji seperti menetapkan had umur kelayakan, mempunyai tahap kesihatan yang baik serta mampu menghadapi kesukaran ketika bermusafir ke Baitullah, individu lanjut usia yang tidak mampu menguruskan diri wajib dibadalkan jika kemampuan dari segi kewangan.
Berdasarkan situsi puan, wang simpanan yang diperuntukkan untuk keperluan asas masa hadapan seperti persaraan tidak wajib digunakan bagi menunaikan haji sekiranya penggunaannya boleh mendatangkan kesulitan atau mudarat yang boleh menjejaskan jaminan kewangan masa hadapan, maka harus serta tidak berdosa menangguhkan ibadah haji.
Namun, jika simpanan dalam ASB itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan aset dan masih terdapat jaminan kewangan yang mencukupi selepas menunaikan haji, maka individu tersebut dianggap mampu, dan kewajipan haji itu tetap dikenakan ke atasnya.
Soalan Kedua:
Harus bagi seorang wanita menunaikan haji tanpa kehadiran suami atau mahram dengan syarat:.
Soalan Ketiga:
Sebaiknya jika keadaan mengizinkan tunaikanlah haji bersama suami bagi mengelak daripada fitnah, di samping ia juga boleh menjadi asbab pengukuhan ikatan antara suami dan isteri.
Sekian, terima kasih.