BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Di Singapura, seorang isteri yg tak berkerja melakukan zina bersama lelaki lain, seorang guru mengaji dia dan anak2 dia, selama setahun. Selepas ketahuan suaminya, si isteri diceraikan oleh suaminya dengan talak 3 . Dan selepas 3 bulan di ceraikan, dgn sembunyi2, dia menikahi dgn lelaki itu. Dia menikahi lelaki itu dengan hukum syarie, iaitu di walikan oleh abang kandung  dia, semasa Covid-19, 2020 tahun lalu. Pernikahan ini di saksikan oleh ketiga2 anak dia, dan di pernikahan mereka di rahsiakn oleh mereka dan anak2 si isteri untuk mengelak dari ketahuan Mahkamah Syariah untuk tujuan mendapat hak mutaah dan harta sepencarian dari bekas suaminya, sedangkan isteri tak berkerja. Mereka hanya mendaftar pernikahan mereka sebulan selepas kes perceraian mereka selesai di bulan Aprill 2022.


Di maklumkan di Singapura Akta Woman Charter juga termaktub di dalam undang2 Mahkamah Syariah Singapura. Ketiga2 anak bekas isteri semuanya sudah berumur di atas 20 tahun di waktu pernikahan mereka. Si ayah seorang yg menjaga kewajiban agama dan bertanggung jawab atas memberi nafkah pada isterinya dan bertanggung jawab menjaga kemaslahatan anak2 dia sampai ketiga2 mendapat pendidikan diploma di polytechnic singapura.


Kesemua anak2 berpihak dgn Ibunya dan mereka sekarang hidup dengan ibu dan bapak tiri mereka di rumah yg lebih dari 50% datang dari wang CPF ayah mereka dari harta sepencarian yg ibu mereka dapat dari perintah Mahkamah Syariah Singapura.


Pertanyaan 1:  Apa hukum atas pernikahan bekas isteri di atas dgn lelaki yg dia lakukan zina semasa dia bersuami, dengan dia mendapat mutaah, mendapat harta sepencarian dan mendapat anak2 yg selama ini di tanggung bekas suaminya?


Pertanyaan 2: Apa hukum pada anak2 yg menybelahi ibu mereka untuk menikahi lelaki di atas. Dan melupakan jasa2 dan pengorbanan ayah mereka?


Pertanyaan 3: Adakah wang mutaah dan harta sepencarian yg si ibu dapat dari  bekas suaminya Haram? 


Pertanyaan 4: Jika pertanyaan 3 di atas bukan Haram, adakah dalam hukum Islam ia jatuh Haram jika si bekas suami berkata kedua2 mutaah dan hasil percarian yg si bekas isteri terima.....tetap Haram, kerana dia tak ikhlaskan wang yg si bekas isteri terima, walaupun itu adalah perintah Mahkamah Syaria Singapura.


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Persoalan 1: Dalam Islam, zina adalah dosa besar yang dikecam lebih-lebih lagi jika dilakukan oleh wanita yang masih bersuami kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap akad pernikahan. Namun begitu, pernikahan yang berlangsung antara bekas isteri dengan lelaki lain selepas tamat iddahnya adalah sah sekalipun pernikahan tersebut dibuat secara sembunyi untuk menipu mahkamah bagi mendapatkan harta. Ia tetap sah dari sudut akad, tetapi berdosa menurut syarak. Ia juga boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dari segi undang-undang kerana setiap pernikahan perlu mendapat kebenaran dan didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang-Orang Islam berdasarkan undang-undang Registry of Muslim Marriges

Persoalan 2: Anak-anak diwajibkan berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa tanpa memilih kasih atau menyebelahi satu pihak secara zalim. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat ke-15:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا

Maksudnya: Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya

Justeru seseorang anak wajib berbuat baik dan menyantuni ibu bapa mereka dalam apa jua keadaan. Hakikatnya, tanggungjawab mereka adalah untuk kembali menilai kebenaran dan tidak berpihak membuta tuli, apatah lagi jika mereka melupakan jasa bapa yang telah menanggung mereka sepenuhnya dengan penuh tanggungjawab. 

Persoalan 3: Wang mutaah dan harta sepencarian tidaklah haram kerana ia adalah hak yang dibenarkan oleh hukum syarak serta undang-undang Mahkamah Syariah berdasarkan sumbangan isteri dalam perkahwinan atau akibat perceraian tanpa kesalahan yang nyata diiktiraf oleh mahkamah.

Namun, jika terbukti bahawa isteri itu berzina dan sengaja merahsiakan pernikahan baru untuk memperdaya mahkamah demi mendapatkan bayaran lebih, maka ia menjadi hasil yang diperolehi secara tidak jujur dan khianat.

Persoalan 4: Dalam prinsip fiqh, harta yang diambil melalui saluran yang sah menurut undang-undang syarak adalah halal secara zahir meskipun si pemberi tidak redha secara peribadi. Namun, jika harta itu diperolehi melalui penipuan, pemanipulasian fakta, atau penyembunyian maklumat penting untuk memperdaya mahkamah maka perbuatan tersebut boleh dianggap mengambil harta orang lain secara batil walaupun mahkamah memutuskan ia sah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 90

message user image