Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika melancong ke Jepun selama 7 hari termasuk pergi dan balik dan setiap hari di Jepun akan keluar dari tempat tinggal untuk berjalan-jalan dan akan pulang ke tempat tinggal semula di tempat yang sama pada waktu malam. Adakah jamak dan qasar dibenarkan?
Jawapan
Jamak dan qasar adalah antara rukhsah (keringanan) yang diberikan kepada orang yang bermusafir. Apabila seseorang musafir tiba di kawasan yang telah diniatkan untuk dia bermukim di situ, maka rukhsah jamak dan qasar terhenti ketika itu. Maka selepas itu dia perlu menunaikan solat mengikut waktunya dan secara itmam, iaitu tanpa jamak dan qasar.
Justeru, dalam situasi ini encik tidak boleh melakukan jamak dan qasar kerana telah sampai di destinasi yang diniatkan untuk menetap melebihi 4 hari tidak termasuk hari pergi dan balik.
Sekian, terima kasih.