Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ingin penjelasan, isteri saya minta kebenaran pergi suatu tempat di sabah untuk berjalan-jalan bersama kawan perempuan dan 2 orang kawan lelaki. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Saya brpendapat ianya salah dan berdosa kerana 2 perempuan dan dua lelaki boleh menimbulkan syak. Tetapi isteri tegas mengatakan ianya tidak berdosa memandangkan dia bersekolah disekolah agama jadi saya jadi was-was dengan apa yang saya dengar dan apa yang saya belajar bahawa jika bukan mahram ianya brdosa kerana pergi berjalan-jalan dengan bukan mahram sedangkan dia isteri orang walaupun berteman. mohon penjelasan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, hukum asal bagi wanita bermusafir adalah haram melainkan terdapat mahram bersama-sama dengannya. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW: لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.” (Riwayat al-Bukhari) Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر مسيرة يوم وليلة إلا ومعها حرمة Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir selama satu hari satu malam yang tidak disertai mahramnya”. (Riwayat al-Bukhari) Suami mempunyai hak untuk membenarkan atau tidak isterinya keluar berjalan walau apa pun hujah isteri. Adapun, berjalan dengan tidak mengikut adab Islam adalah tidak dibenarkan. Dalam konteks permusafiran wanita yang bukan disebabkan darurat seperti melancong, maka terdapat dua keadaan: 1. Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali. 2. Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan dalam kalangan ulama: a) Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi. b) Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama. Pada pandangan pertama dibolehkan bermusafir tanpa mahram, namun perlu diraikan dengan beberapa syarat: 1. Hendaklah wujud keperluan mendesak. 2. Perlu mendapat keizinan daripada wali atau suami. 3. Hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. 4. Tujuan perjalanan tersebut tidak menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Justeru, dinasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.