Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan niat? Saya ada baca jika bercerita tentang penceraian orang lain dihadapan isteri tidak berlaku talak/cerai. Tapi jika ada niat maka akan jatuh talak. Contoh bercerita tentang perceraian seseorang artis/kenalan. Bagaimana hendak tahu jatuh niat? Saya sering diganggu dengan perasaan was - was selepas itu.
Jawapan
Mempunyai niat untuk bercerai hanya jatuh jika si suami melafazkan talak secara soreh (jelas), seperti "aku ceraikan kau".
Adapun talak secara kinayah, seperti "aku lepaskan kau" adalah lafaz yang tergantung niatnya, sekiranya suami berniat cerai maka jatuh talak jika sebaliknya maka tidak jatuh talak tersebut.
Sekiranya suami tidak melafazkan apa-apa, dan berniat sahaja, maka talak tidak jatuh. Begitu juga dengan situasi tuan yang bercerita tentang perceraian seseorang artis/kenalan, niat tuan pada ketika itu tidak menjatuhkan sebarang talak, kerana tidak disebutkan lafaznya secara soreh mahupun kinayah.
Sekian, terima kasih.