Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Wrh Wbt Mufti/Ustaz/Ustazah. Saya ada soalan mengenai soal hati, dan beberapa ayat dalam Al-Quran, yang telah saya dengar dan baca tafsir seperti tafsir zillal, Nouman Ali khan, ceramah-ceramah ustaz luar dsb. Berkenaan ayat La Takrabuzzina, surah Al-Israk dan juga percintaan yang disebutkan oleh Ibn Qayim, Imam Al-Ghazali dsb. Saya suka, pada seseorang ini, suka dan cinta kerana Allah, bukan pada paras rupa dsb dan saya ingin berkawin dengannya, dan saya telah pun berjanji akan mengahwini dia. Dia pun bersetuju untuk mengahwini saya. Kedua belah keluarga kami tahu mengenainya cuma tiada ikatan pertunangan mahupun akad lagi. Saya tak mampu lagi hendak memberi nafkah pada dia, dan tak mampu nak menanggung dia lagi. Kalau boleh, memang saya ingin mengahwininya cepat, tetapi saya masih belajar, dan saya masih berusaha mencari nafkah yang tetap untuk saya menyara dia dan menyara keluarga saya nanti untuk saya membina sebuah keluarga yang baik dan keluarga di bawah naungan Allah. Saya faham, cinta selepas kahwin itu lebih indah dan dituntut oleh Rasullulah SAW sendiri. Namun, kami telahpun mempunyai perasaan antara satu sama lain dan memberitahu satu sama lain sebelum kami sedar akan mana yang dituntut. Pegangan saya tetap, saya tidak akan keluar dengan dia berduaan jika tiada mahram yang menemani kami sama ada adik beradik dia. Tiada panggilan manis antara kami. Tidak berkomunikasi lama-lama seperti call dsb. kebanyakannya hanya sekadar tulisan di whatsapp. Alhamdulillah Allah jauhkan kami dari apa-apa yang tidak diingini, saya sedang belajar di Malaysia, dan dia belajar di Indonesia. 1) Persoalan saya, adakah salah dan berdosa saya atau dia, untuk bercakap sekalipun mahu berkawan, bertanya khabar antara satu sama lain, sebelum kami bertunang ataupun bernikah ? 2) Adakah wajar untuk dia meninggalkan saya, untuk biar saya mencari nafkah dahulu tanpa bertanya khabar langsung tentang saya, dan kemudian saya cari dia semula sewaktu saya sudah bersedia? adakah ia baik untuk perhubungan kami ini? 3) Apakah nasihat ustaz/ustazah/mufti pada kami untuk kami membawa perhubungan ini ke jalan yang baik, dan Allah redha ? Terima Kasih banyak ustaz/ustazah/mufti.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, 1. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berkawan antara lelaki dan perempuan selagi persahabatan itu terkawal dan dalam batas-batas yang dibenarkan oleh syarak. 2. Tidak juga menjadi kesalahan untuk beliau meninggalkan saudara tanpa bertanya khabar langsung atas sebab-sebab yang beliau sendiri maklum dan mungkin sebab-sebab itu juga lebih baik untuk perhubungan antara saudara dengan beliau, kerana selagi belum akad nikah, dia adalah anjabiah bagi saudara. 3. Adalah dinasihatkan kepada saudara untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran saudara, berusaha memperoleh pekerjaan yang baik dan setelah itu jika mampu ambillah beliau sebagai isteri saudara. Namun, lebih baik lakukan khitbah sebagai tanda dan janji ingin mengahwininya agar tiada orang lain yang masuk meminang dan mengahwininya. Hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya, Nabi SAW bersabda لا يَخْطُبْ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ ، أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sehingga perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkannya” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.