Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bapa saya telah meninggal dunia 4 tahun lepas. Semenjak itu ibu saya tinggal bersedirian. Namun kebelakangan saya diberitahu bahawa adik tiri saya(sama bapa tapi berlainan ibu) tinggal serumah dengan ibu saya. Mereka hanya tinggal berdua sagaja. Saya ingin minta pencerahan mengenai isu ini. Adakah perkara ini dibenarkan mengikut hukum & adab dalam Islam? Dan sebagai anak perempuan yg sulung apakah perlu saya lakukan? Adakah wajar sekiranya adik betadik ibu saya menegur sekiranya perkara itu tidak wajar? Terima kasih.
Jawapan
Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 23 :
Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Oleh yang demikian hukum adik tiri sama bapa berlainan ibu yang tinggal bersama dengan ibu saudari adalah tidak berdosa kerana mereka dikira mahram muabbad iaitu haram untuk dinikahi selama-lamanya.
Sekian, terima kasih.