Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, ayah saya cari sumber rezeki yang difatwakan haram iaitu forex/trading, adakah haram dan berdosa jika saya menerima nafkahnya? Saya takut amal ibadah saya tidak diterima Allah S.W.T. Jika YA, bagaimana saya patut selesaikan masalah ini tanpa perlu bergaduh dengan dia? Saya umur 19 tahun tidak bekerja kerana masalah kesihatan. Adakah Allah akan menerima amal ibadah saya? .Mohon pencerahan.
Jawapan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:
Syarat-syarat umum jual beli:
Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:
Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.
Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, secara asasnya, harta yang diperoleh daripada sumber yang diharamkan oleh syarak seperti transaksi berasaskan riba atau urus niaga forex adalah tidak dibenarkan kerana ia dikira sebagai hasil yang haram. Individu yang terlibat secara langsung dengan urusan haram ini adalah berdosa, dan segala bentuk perbelanjaan yang dilakukan menggunakan harta tersebut adalah juga diharamkan.
Namun, bagi pihak yang menerima harta ini sama ada melalui jual beli, hadiah, atau nafkah sedangkan penerima tidak terlibat secara langsung dengan urusan haram tersebut maka harta itu adalah harus diterima dan tidak menjadi haram. Oleh itu, ibadah yang dilakukan oleh pihak tuan tetap diterima oleh Allah SWT.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Surah Al-An’am ayat 164:
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.
Teruskan berdoa dan memberi nasihat kepada ayah dengan penuh hikmah, semoga dengan demikian Allah akan melorongkan beliau untuk berubah ke arah kebaikan.
Sekian, terima kasih.