BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Salam. Saya hendak bertanya tentang hukum. Adakah berdosa dan dikira derhaka seorang isteri jika tidak mengikut keputusan suami atas sebab takut mudharat kepada diri dan anak2? Situasinya adalah si suami tidak lagi seperti dahulu. Melayan isteri seperti orang luar yang tidak dikenali akan tetapi meminta isteri mengikutnya berpindah ke tempat kerjanya. Sedangkan layanannya terhadap isteri adalah seperti orang asing. Dan suami suka bertindak ikut kepala sendiri. Suami saya telah meninggalkan saya sejak saya mengandung 1 bulan anak kedua. Menghilang tanpa khabar berita. Dapat tahu pasal suami apabila saya yang berusaha mencarinya. Apakah hukumnya jika saya tidak mengikut kehendak suami? Adakah saya masih dibawah hukum suami yang mana jika saya keluar rumah tanpa izin atau berbuat sesuatu yang perlu melibatkan suami, saya dikira nusyuz sedangkan suami memutuskan perhubungan kami dan menggantung status saya?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, seorang suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, tetapi wajib menjaga keselamatan dan memberi kasih sayang. Sebagai isteri pula wajib mentaati suaminya dalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan hukum Islam. Termasuk jika suami telah menyediakan tempat tinggal yang sesuai berdasarkan keupayaan suami. Suami yang meninggalkan rumah tanpa khabar berita, merupakan nusyuz iaitu ingkar terhadap tanggungjawabnya. Oleh itu, isteri tidak berdosa keluar tanpa izin suami kerana sesuatu keperluan. Diingatkan agar suami dan isteri semak semula lafaz taklik yang dibaca oleh suami selepas majlis akad nikah sebagai peringatan tentang amanah dan tangungjawabnya sebagaimana berikut: “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.” Namun, jika tiada sebarang kemudharatan, maka wajib ikut pindah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 149

message user image