Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adik ipar saya ada gadaikan barang kemas kepada pajak gadai dengan faedah dikenakan sebanyak 2% sebulan. Bolehkah saya menebus barang kemas tersebut dan menyimpannya? Bila adik ipar saya membayar balik kepada saya, saya akan kembalikan kepadanya barang kemas tersebut tanpa mengambil sebarang keuntungan. Minta nasihat dari segi hukum. Tq.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukumnya adalah harus. Alternatif tersebut dilakukan bagi membantu adik ipar yang menggadaikan barangannya di pajak gadai agar tidak terbeban menanggung upah simpan sebanyak 2% yang dikenakannya itu. Namun, perlu memaklumkan kepada adik ipar dan mendapat kebenarannya. Apabila beliau membayarnya dengan puan sedikit demi sedikit sehingga selesai, puan dikira membantunya tanpa mengenakan bayaran upah simpanan. Maknanya, adik ipar tersebut tidak lagi berhutang dengan pajak gadai, beliau berhutang dengan puan dan barang kemasnya pula dapat diselamatkan daripada tergadai jika tidak mampu membayarnya di premis pajak gadai tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.