BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Situasinya begini:

Bolehkah seorang lelaki yang bekerja di bank konvensional menghalalkan hubungan (bernikah) dengan wanita yang dicintainya? Lelaki tersebut bekerja sebagai sales executive di sebuah bank dimana dia ditugaskan untuk mempromosi produk Islamik dan komvensional. Kebanyakan pinjaman yang dipromosikan adalah produk Islamic, kecuali jika pelanggan sendiri dengan jelas memilih produk konvensional.

Yang menjadi persoalan:
❓Adakah lelaki tersebut boleh berkahwin dengan wanita yang dicintainya walaupun masih bekerja di bank konvensional, di mana gajinya dianggap syubhah?
❓Lelaki itu sentiasa berusaha dan berniat untuk berpindah ke institusi perbankan Islam, namun disebabkan keadaan ekonomi semasa dan komitmen kewangan yang tinggi, dia terpaksa meneruskan pekerjaan sekarang buat sementara waktu.

Saya memohon pandangan Ustaz untuk menyentuh dua perkara dari sudut hukum syarak:
    1.    Apakah hukumnya seorang lelaki memberikan nafkah kepada isteri daripada pendapatan bank konvensional (yang syubhah), sedangkan dia dalam usaha dan azam berterusan untuk mencari pekerjaan di bank Islam?
    2.    Adakah lebih baik lelaki tersebut menangguhkan perkahwinan sehingga memperoleh pekerjaan di bank Islam, atau boleh sahaja meneruskan perkahwinan dalam keadaan sekarang (dengan niat dan usaha hijrah pekerjaan sedang dijalankan)?

Saya amat berharap agar Ustaz dapat memberikan pencerahan atas persoalan ini. Terima kasih atas kesudian membaca mesej ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati ustaz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Bekerja di sektor yang bercampur-campur antara halal dan haram adalah wajib dielakkan bahkan seorang muslim wajib memilih yang halal tanpa melihat kepada status individu sama ada masih masih bujang atau telah berkahwin. Sekiranya seseorang itu sudah berkahwin maka tanggungjawabnya adalah lebih berat kerana nafkah yang masuk ke dalam perut keluarga perlulah bersih dari unsur-unsur syubhah mahupun haram.

  1. Sekiranya si suami mengetahui bahawa pendapatannya bersumberkan perkara yang bercanggah dengan syariat, maka dia berdosa apabila memberi nafkah daripada sumber itu. Namun begitu, nafkah yang diterima oleh si isteri tetap diharuskan untuk diterima selagi mana si isteri tidak terlibat secara langsung dalam pekerjaan haram tersebut, dan dia tidak mengetahui secara jelas tentang keharamannya. Ini berasaskan prinsip bahawa dosa itu tertanggung ke atas pelaku, bukan orang yang tidak terlibat.

      2. Tidak perlu menangguhkan perkahwinan atas sebab yang boleh diselesaikan dengan baik serta hikmah. Percayalah rezeki yang akan Allah SWT                      berikan atas usahanya untuk menjadi baik dan seterusnya berjaya mendirikan mahligai perkahwinan dalam keadaan yang diredhai oleh Allah SWT.

Sebagaimana Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya” (Riwayat al-Tirmizi)

Semoga Allah SWT memberikan jalan dan kemudahan bagi keluar dari belenggu masalah kewangan yang memberi kesan tidak baik kepada nafkah bakal suami dan seterusnya mampu mendirikan mahligai perkahwinan atas dasar agama serta redha Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image