BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada terbaca dan dengar claw mesin itu haram. Tetapi ada 1 pusat claw (HALOLO PARK SUNWAY PYRAMID).

Disitu, mereka pamerkan harga gerenti dapat & harga sebenar untuk barangan tersebut. Serta ada beberapa mesin yang kita boleh tukar dengan barangan lain yg ada dalam tu.

Contoh : mesin A

- Harga sebenar RM 40

- Harga gerenti dapat RM 30

Jika kita main sehingga RM 30, kita gerenti akan dapat bear dalam mesin tersebut dan ia lebih murah dari harga sebenar. Jika dalam mesin tersebut ada 3-4 jenis bear. Kita dapat jenis A. Tapi kita nak jenis B. Kita boleh panggil staff untuk tukar ke bear yang kita mahukan. Selain itu, kita juga boleh panggil staff untuk bantu menyusun semula bear2 yang ada bagi memudahkan utk kita dapat. Chances untuk dapat sangat tinggi kerana ada perbezaan jenis easy, medium dan hard mesin.
 

Kebanyakan mesin2 claw lain yang berada dalam kuantiti yang tidak banyak. Ia tidak ada bear yg banyak dalam Mesin tersebut, tiada staff yang jaga, tiada kebarangkalian amount gerenti & sebenar. Chances untuk tidak dapat adalah sangat tinggi. 
 

Adakah dengan cara ini, ia masih berada dalam hukum haram ? Terima kasih kerana membantu saya dalam soalan ini. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Permainan claw machine atau mesin cakar (juga dikenali sebagai mesin tangkap anak patung atau permainan “pick-up”) sering dijumpai di pusat hiburan, pasar raya atau kedai serbaneka. Permainan ini membolehkan pemain memasukkan duit syiling atau token, menggerakkan cakar mesin, dan cuba menangkap barangan seperti anak patung atau hadiah.

Secara umumnya dalam Islam setiap permainan yang berdasarkan kepada nasib seseorang seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini mempertaruhkan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Begitu juga permainan claw machine ini. Pemain akan meletakkan sejumlah wang, dan cuba mendapatkan hadiah-hadiah yang disediakan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini.

Permainan ini boleh jatuh dalam kategori perjudian iaitu  pemain membayar sejumlah wang untuk bermain dan hadiah yang ingin dimenangi mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada wang yang dibayar atau kadang-kadang lebih rendah daripada wang dibayar. Keputusan sama ada mendapat hadiah itu atau sebaliknya adalah berdasarkan nasib dan bukan kemahiran sepenuhnya.

Kesimpulannya, permainan claw machine adalah haram kerana mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian) yang dilarang dalam syariat Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 35

message user image