BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Isteri meminati dan menyukai lelaki lain ditempat kerjanya. Setelah perkara itu terbongkar, isteri menjelaskan bahawa dia tidak pernah berhubungan dengan lelaki itu, cuma sekadar menyimpan perasaan kerana isteri suka melihat cara dan gaya kerja lelaki itu dan wajahnya yang tampan. Isteri menjelaskan ia hanya suka sekadar suka. Setelah ditegur dan dimarahi, dia telah bertaubat dan menyesali perbuatannya dan memohon maaf kepada suami.

Soalan saya: 

1. Adakah isteri dikira curang ketika melakukan perbuatan tersebut?

2. Adakah isteri telah nusyuz ketika melakukan perbuatan tersebut? 

4.Apakah hukumnya jika isteri terus menyembunyikan perkara ini daripada suami sedangkan semua rakan-rakannya tahu?

3. Apa nasihat tuan kepada suami dan isteri untuk menghadapi permasalahan ini? Suami telah kecewa dengan perbuatan isteri dan berasa sulit untuk melupakan dan memaafkan dan rasa susah untuk mempercayai isteri.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Nusyuz dalam perkahwinan ialah perbuatan isteri yang ingkar dan tidak taat suaminya dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34:

فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ

Maksudnya: Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Apabila seorang isteri melakukan perbuatan yang tidak baik, dan bertaubat setelah dinasihati suami maka itu adalah usaha isteri untuk menjadi isteri yang taat dan solehah. Perhubungan antara suami dan isteri yang harmoni memerlukan komunikasi untuk kekal mawaddah. Sekiranya terdapat perbuatan, perkataan yang tidak disenangi oleh pasangan, berbincang dengan baik agar permasalahan dapat diselesaikan. Sebagai seorang suami atau pun isteri, hendaklah menjaga hati sendiri dan juga pasangan agar tidak membawa kepada permasalahan yang lain. Berdoalah kepada Allah agar pasangan sentiasa berubah kepada kebaikan dan pada diri sendiri untuk memaafkan dan menyokong usaha perubahan yang dilakukan pasangan.

 

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 85

message user image