BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum pihak (JMNG)

Disini saya ada beberapa soalan bagi perceraian taklik.Isteri saya sudah langgar talik yang saya lafazkan 

 

Soalan 1 - berapa lama masa edah( isteri dalam keadaan suci) ?

Soalan 2 - dalam masa edah boleh kah tinggal bersama?

Soalan 3 - apakah boleh rujuk ? Dan macam cara rujuk? Adakah perlu kemahuan sendiri atau kedua2 pihak? Sebab saya dengar ceramah agama mufti perlis ada berkata ( rujuk boleh dilafaz walaupun isteri tidak beringinan - dan rujuk secara batin itu di kira rujuk juga)

 

Soalan 4- apa yang perlu sekiranya hakim telah mengesahkan talik itu sah?! 

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara:

1. Iddah bagi isteri yang masih ada haid adalah 3 kali suci. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228:

وَٱلۡمُطَلَّقَـٰتُ یَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَـٰثَةَ قُرُوۤءࣲۚ

Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). 

2. Semasa dalam tempoh iddah adalah makruh hukumnya tinggal bersama. Ini kerana jika kedua-duanya masih tinggal di rumah yang sama, boleh menimbulkan fitnah dan khalwat. Jika ingin tinggal bersama, pastikan mempunyai mahram, rumah tersebut mempunyai bilik berasingan atau tingkat berlainan. Namun sebaiknya hendaklah dielakkan, melainkan dalam keadaan dharurat atau terdesak.

3. Adalah harus bagi suami merujuk isterinya yang telah diceraikan dengan talak satu atau dua walaupun tanpa izin (kerelaan) isterinya, kerana tidak disyaratkan kerelaannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228;

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ

Maksudnya: Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah (kebaikan). 

Menurut mazhad Shafie, rujuk adalah dengan lafaz seperti: Saya rujuk awak semula. Tidak sah rujuk hanya dengan perbuatan atau dengan niat sahaja.

4. Sekiranya Hakim Syarie telah memutuskan bahawa lafaz taklik itu sah, maka pihak Mahkamah Syariah akan membacakan perintah penghakiman dan isteri perlu menjalani tempoh iddahnya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 84

message user image