Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ada soalan, si A telah membayar duit deposit TNB sebanyak RM500 untuk bekalan elektrik rumah kediamannya, dan kemudiaanya dia meninggal dunia. Beberapa tahun kemudian, rumah tersebut dijual dan duit deposit tersebut dikembalikan oleh TNB sebanyak RM601.15. Adakah duit tersebut perlu difaraidkan dan mana satukah jumlahnya, RM500 atau RM601.15? Mohon pencerahan, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, duit deposit TNB yang dibayar oleh si A semasa hayatnya merupakan harta milik beliau. Apabila beliau meninggal dunia, segala harta yang ditinggalkan termasuk wang tunai, aset fizikal pelaburan dan deposit seperti ini menjadi harta pusaka yang mesti diuruskan mengikut hukum faraid setelah diselesaikan (ditolak) hutang (jika ada), kos pengurusan jenazah dan wasiat (jika ada).
Wang diposit yang dikembalikan oleh TNB selepas kematian si A dan ada sedikit tambahan tetap dianggap sebagai harta si mati. Wang tambahan tersebut boleh jadi merupakan rebat atau caj lebihan balik daripada TNB kepada si A. Jadi, seluruh wang deposit yang diterima iaitu RM601.15 termasuk dalam harta pusaka yang perlu difaraidkan.
Sekian. Terima kasih.