Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum... Saya mempunyai satu soalan berkaitan hutang. Masa saya menyambung pengajian tahun 2012 dulu, saya ada membuat pinjaman ptptn. Dan tempat pengajian saya merupakan sebuah kolej swasta. Pada hujung 2013, kolej tersebut telah bankrap dan ditutup. Semua pelajar yang masih ada termasuk saya dipindahkan ke kolej lain. Dan saya telah menyambung baki 2 semester di kolej swasta lain di selangor. Setelah tamat belajar, beberapa minggu sebelum graduasi, saya mendapat panggilan telefon dari pihak kolej kedua. Saya dimaklumkan yang saya tidak layak untuk graduasi kerana nilai cgpa saya tidak cukup, kerana skrip keputusan semester 1 hingga 3 tiada. Saya memaklumkan pada pemanggil tersebut bahawa sebelum ini pihak kolej berjanji bahawa mereka yang akan menguruskan semua dokumentasi dan transkrip pelajar. Tapi dia hanya menjawab bukan dia yang berjanji. Dan dia hanya mentertawakan saya apabila saya merayu untuk bantu saya graduasi. Pada masa itu, saya masih cuba menjejaki transkrip semester 1 hingga 3 saya. Masa itu saya ada dapat dua jawapan yang mengelirukan. Ada pihak memaklumkan nama, ic dan nombor pelajar saya ada dan perlu membuat bayaran rm600 hutang kepada kolej yg telah tutup. Dan jawapan lain, nombor pelajar saya tidak sama dengan nama dan ic saya. Ada yg memaklumkan kes ini disebabkan ada pihak yg menjual transkrip saya kepada orang lain. Dan disebabkan hal ini menyebabkan saya kecewa dan terlalu tertekan. Setelah bertahun-tahun berlalu, baru saya mampu untuk bangun semula membina hidup saya yang pernah hilang.
Soalan saya bagaimanakah hutang saya dengan pihak ptptn? Selama ini saya abaikan disebabkan rasa kecewa akibat tidak dapat bergraduasi. Adakah saya masih tetap perlu membayar pinjaman saya, walaupun saya tidak akan dapat diploma saya? Walaupun perkara tersebut terjadi bukan salah saya. Perkara ini akhirnya menjadi persoalan kepada saya, kerana saya masih tetap tidak mahu membayar pinjaman tersebut. Harap pihak tuan dapat memberi pencerahan kepada saya soal ini. Kerana hati saya tetap berat tidak mahu membayar sesuatu yang pada saya tiada hasil.
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 282
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).
Dan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang. (Riwayat al-Bukhari)
Islam sangat menitikberatkan urusan hutang, khususnya bagi pihak yang berhutang agar melunaskannya dengan segera dan sebaik mungkin. Sehubungan itu, bagi persoalan yang dinyatakan, adalah disarankan untuk segera menghubungi pihak PTPTN atau berurusan secara langsung bagi menyelesaikan hutang yang masih tertunggak. Ini kerana selagi hutang tersebut belum dilangsaikan, selagi itulah beban dan tanggungjawabnya terus dipikul.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Shohib RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)
Sekian, terima kasih