BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan mufti

Saya seorang yang baru berjinak-jinak dalam dunia pencetakan baju . Jadi saya ada beberapa soalan ;

1. Saya bercadang menghasilkan baju/ jersi keluaran syarikat saya sendiri tetapi mengambil inspirasi seperti jersi kelab seperti Real madrid. Adakah halal & dibenarkan saya menjual jersi tersebut ?

2. Jika baju design sendiri, tetapi saya menggunakan logo & nama kelab asal (contoh real Madrid) adakah dibenarkan? 

3. Adakah perlu saya menukar logo kelab asal kepada logo ciptaan sendiri dan nama kelab asal (Real Madrid kepada "Madrid white" atau mana-mana nama lain)?

4. Bagaimana pula dengan logo sponsor (sebagai contoh fly emirates) dan logo liga (laliga / uefa ) yang sebenar asal adakah dibenarkan digunakan pada baju keluaran saya sendiri?

5. Jika saya menghasilkan baju ditempah pelangan kemudian pelangan meminta meletakan logo-logo syarikat atau jenama tertentu adakah dibolehkan? Logo dan jenama tersebut tidak terlibat judi, arak dan perkara diharamkan yang lain.  

6. Bagaimana pula jika saya hasilkan atau diminta oleh pelangan untuk menghasilkan baju yang tertera gambar watak dalam cerita/movie/ drama ataupun gambar kereta berjenama yang turut tertera logo kereta tersebut tanpa mendapat kebenaran tuan empunya jenama.

7. Bagaimana pula jika baju tersebut mengandungi teks atau dialog yang dipetik daripada mana-mana cerita/ movie / drama adakah dibenarkan atau saya tetap perlu minta kebenaran pihak cerita/movie/ drama itu terlebih dahulu?

8. Jika soalan-soalan diatas tidak dibenarkan apa yang perlu saya buat?

Saya mohon maaf jika ada soalan yang berulang atau kesalahan pengunaan ayat. Segala jasa baik pihak Tuan mufti amatlah saya hargai

 

Terima kasih Tuan mufti.

Assalamualaikum 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Akademi Fiqah Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah meluluskan resolusi berikut:

“Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dll). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”.

Justeru harta atau produk yang telah didaftarkan adalah diiktiraf syarak, maka ia tidak harus dicerobohi melalui aktiviti meniru 100%, cetak rompak dan seumpamanya walaupun ia milik bukan Islam. Oleh yang demikian jual belinya adalah diharamkan disebabkan berlaku pencerobohan hak milik.

Secara prinsip, Islam menekankan agar setiap urusan perniagaan dijalankan dengan mematuhi hukum syarak dan undang-undang yang sah di sisi negara. Dalam isu penghasilan pakaian atau jersi seperti yang dinyatakan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

  1. Penggunaan reka bentuk, logo, atau nama berdaftar

    • Menggunakan secara langsung logo, nama kelab, jenama, atau simbol yang dilindungi hak cipta (copyright) atau cap dagangan (trademark) tanpa kebenaran pemilik adalah tidak dibenarkan dari sudut undang-undang dan syarak.

    • Ia termasuk logo kelab (contoh Real Madrid), logo penaja (contoh Fly Emirates), dan logo liga (contoh La Liga, UEFA).

  2. Reka bentuk mengambil inspirasi dari jenama besar

    • Menghasilkan reka bentuk sendiri yang hanya diinspirasikan daripada sesuatu kelab atau jenama adalah dibenarkan, selagi tiada peniruan tepat (exact copy) terhadap elemen berdaftar tersebut.

    • Sebaiknya gunakan logo, nama, dan elemen ciptaan sendiri. Contohnya, tukar "Real Madrid" kepada nama unik seperti "Madrid White" atau yang lain.

  3. Tempahan pelanggan dengan logo atau jenama

    • Sekiranya pelanggan meminta logo atau jenama tertentu dipaparkan, pengusaha perlu memastikan pelanggan telah mendapat kebenaran rasmi pemilik jenama tersebut.

    • Penggunaan jenama yang tidak melibatkan perkara haram (seperti judi, arak, riba) tetap memerlukan kebenaran jika ia dilindungi undang-undang.

  4. Penggunaan watak, gambar, atau teks daripada filem atau drama

    • Menggunakan gambar watak, kenderaan berjenama, atau teks/dialog yang diambil daripada karya yang telah ada hak cipta tanpa izin juga adalah tidak dibenarkan.

    • Sekiranya ingin digunakan, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik hak cipta

 

Kesimpulannya bagi mengelakkan pelanggaran hak cipta dan tuntutan undang-undang, pengusaha adalah disarankan untuk:

  • Menghasilkan logo, nama, dan reka bentuk sendiri yang unik.
  • Mengelakkan penggunaan langsung mana-mana elemen yang dilindungi hak cipta tanpa izin.
  • Mendapatkan kebenaran rasmi daripada pemilik hak jika ingin menggunakan jenama, logo, atau karya tertentu.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 14

message user image