Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.
Saya ingin bertanya mengenai pemberian barang kepada orang lain.
situasi 1
Ada seseorang(A) memberi barang kepada orang lain(B). Tapi esoknya A meminta semula barang tersebut. tetapi B enggan memberi ia sebab setiap barang yang di terima telah menjadi haknya.
1. Adakah B berdosa tidak memulangkan barang tersebut.
2. Saya pernah dengar. pemberian yang kita beri kepada orang. kita haram meminta semula barang tersebut(kalau salah, sila tegur). Andainya B seorang anak yatim. ia tidak rela barang itu di ambik semula tapi dia tidak mempunyai kuasa kerana seorang anak yatim. Dia memulangkan barang itu semula. Adakah orang yang meminta semula barang itu di kira mengambil harta anak yatim?
situasi 2
Ada seseorang(A) memberi tanah kepada seorang anak yatim tapi belum menukar nama tanah itu kepada nama anak yatim itu. Tapi dia sudah memaklumkan kepada semua orang di situ tanah itu milik anak yatim itu. beberapa tahun kemudian, A ingin menukar nama tanah itu kepada nama anak yatim itu tapi di sebabkan ada orang luar campur tangan. A meletakkan nama orang lain(B).
1. Adakah A berdosa dalam hal ini?
2. Adakah B berdosa tinggal di tanah itu dan di kira mengambil harta anak yatim?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan:
Situasi 1:
Suatu pemberian atau hibah yang telah sempurna ijab dan qabul serta penyerahannya, maka hukum mengambil semula pemberian tersebut adalah haram dan dilarang, melainkan pemberian seorang ayah kepada anaknya. Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya. (Riwayat al-Bukhari).
1. Tidak berdosa kepada B untuk tidak memulangkan semula pemberian tersebut jika telah sempurna syarat pemberian seperti yang dinyatakan.
2. Boleh dianggap sebagai mengambil harta anak yatim jika telah sempurna permberian atau hibah tersebut.
Situasi 2:
Pemberian tanah dianggap telah sempurna pemberiannya sekiranya telah berlaku qabd atau penyerahan. Dari segi syarak, penyerahan ini boleh berlaku dengan cara seperti penyerahan geran tanah, menunjukkan tapak tanah, menduduki tapak tanah tersebut dan sebagainya. Tidak disyaratkan pertukaran nama pada geran tanah sebagai syarat sah pemberian.
1. A berdosa jika telah sempurna pemberian atau hibah kepada anak yatim tersebut.
2. B berdosa jika telah sempurna pemberian atau hibah kepada anak yatim tersebut.
Sekian, terima kasih.