BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti,

Saya telah berkahwin selama 12 tahun. Selama 12 tahun perkahwinan saya tidak pernah merasakan nikmat klimaks bersama suami. Suami adalah seorang yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai seorang ketua keluarga.

Kami pernah beberapa kali berbincang hal ni dan berusaha pelbagai cara namun tetap dia tidak dapat membuatkan isterinya berasa klimaks. Kebiasaannya selepas suami keluar air mani, dia akan terus tidur.  Saya sabar.

Saya sedar ia mungkin ujian untuk saya. Tapi saya juga tertanya2 apakah nikmatnya seks yang sebenar hingga saya tidak pernah merasakannya. Ia kadang kala menggangu emosi saya dan menganggu juga hubungan kami tapi sebab suami sedar maka dia pon bersabar. 

Untuk memuaskan nafsu saya kadangkala ketika bersama saya terpaksa membayangkan saya bersama dengan 'lelaki imaginasi' saya kerana saya berusaha untuk 'aroused' dan nak merasi klimaks tu tapi biasanya suami berhenti lebih awal. 

Saya jadi buntu. Adakah keadaan seperti ini membolehkan saya beronani? Atau masih juga haram beronani. Sebab saya baca jika keadaan isteri tak mengizinkan suami untuk melakukan seks,suami diharuskan beronani. Bagaimana pula dengan isteri?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, adalah penting bagi suami isteri apabila kedua-duanya beroleh nikmat dan kepuasan dalam hubungan mereka. Itulah antara hikmahnya perkahwinan, agar keinginan lelaki dan perempuan itu disalurkan dengan cara yang tidak menyalahi syarak melalui pernikahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187:

هُنَّ لِبَاسࣱ لَّكُمۡ وَأَنتُمۡ لِبَاسࣱ لَّهُنَّۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَخۡتَانُونَ أَنفُسَكُمۡ فَتَابَ عَلَیۡكُمۡ وَعَفَا عَنكُمۡۖ فَٱلۡـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَٱبۡتَغُوا۟ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ

Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.

Begitu juga dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 223:

نِسَاۤؤُكُمۡ حَرۡثࣱ لَّكُمۡ فَأۡتُوا۟ حَرۡثَكُمۡ أَنَّىٰ شِئۡتُمۡۖ وَقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُمۡۚ

Maksudnya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

Sebagaimana suami berhak dilayan dengan baik, begitu juga isteri berhak untuk dilayan dengan baik. Di dalam surah al-Baqarah, ayat 228 Allah SWT berfirman:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)

Di dalam surah al-Nisa', ayat 19 Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Bermaksud: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memastikan isteri turut mencapai kenikmatan di dalam hubungan kelamin. 

Justeru, puan boleh dapatkan kepuasan dalam hubungan kelamin dengan apa jua cara yang tidak menyalahi syarak. Namun, isteri dilarang malah haram hukumnya jika membayangkan lelaki lain atau berimaginasi dan seumpamanya bagi mencapai kepuasan dirinya. Dapatkan bantuan suami untuk mencapai jangkaan yang puan harapkan dalam hubungan kelamin tersebut. Sentiasa berbincang hasrat dan kehendak puan yang bagaimana agar suami faham dan boleh membantu bersama-sama. Lakukan perkara yang ditanyakan itu ketika bersama dengan suami, sebaiknya dengan bantuan suami dan dilarang melakukannya bersendirian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 130

message user image