BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, 
Sy ada beberapa persoalan mengenai life insuran. arwah suami sy ada ambil life insuran. Sy ada terbaca yg benefit atau bonus dari life insuran si mati tidak boleh digunakan oleh waris atau difaraidkan. Ianya perlu diberikan kpd baitulmal atau fakir miskin atau utk tujuan kebajikan sepenuhnya, betul?
2) Jika betul tidak boleh digunakan, bolehkah sy beri kepada pusat tahfiz utk tujuan kebajikan & kemaslahan pusat tahfiz tersebut?
3) jika keperluan sy sendiri kadang2 tidak mencukupi dgn pendapan bulanan sy, adakah sy boleh sy gunakan wang tersebut utk keperluan sy atau anak2 ? Jika boleh setakat mana atau utk tujuan apa yg boleh sy gunakan? krn sy mempunyai 5 org ank yg masih bersekolah kesemuanya .

Saya harap pihak tuan dapat membantu sy & memberi pencerahan, 
Saya dahulukan dgn ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, wang pampasan insurans konvensional termasuk dalam kategori harta tidak patuh syariah kerana urusniaga yang dijalankan adalah tidak menepati hukum syarak sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam, yang mana ia mengandungi elemen riba, gharar (ketidaktentuan) dan judi.

Begitu juga sekiranya puan menggunakan wang tersebut ke arah kebaikan seperti menyerahkan kepada pusat tahfiz atau menyara kelangsungan hidup puan dan anak-anak, namun hukumnya tetap haram di sisi hukum syarak sebagaimana berdasarkan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89 insurans konvensional ini mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam Islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian. 

Disarankan agar puan membuat penyerahan wang tidak patuh syariah tersebut kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor. Perkara ini juga berdasarkan keputusan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011/ 12 Rajab 1432H;

i. Insurans Konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan oleh Islam kerana amat bercanggah dengan Prinsip Islam. Oleh yang demikian, Pampasan Polisi Insurans Konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

ii. Jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta pusaka si mati yang perlu diagihkan secara faraid. Manakala pampasan polisi insurans konvensional tersebut wajib dilupuskan untuk tujuan disucikan harta tersebut dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuk kepada golongan fakir dan miskin.

Namun begitu berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94  yang bersidang pada 20-22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi dalam perkara 4 di dalam keputusan tersebut menyatakan:

"Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan". Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (3) di atas.  

(Perkara 3: Baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.)

Sebarang maklumat lanjut berkaitan wang tidak patuh syariah, disarankan agar pihak puan berhubung ke Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image