BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz.Saya mempunyai satu soalan.Ketika saya mandi wajib,saya terasa lantai bilik mandi saya seakan-akan berminyak.Tetapi ketika saya membasuh kaki saya,saya tidak merasakan 'minyak' tersebut di tapak kaki saya.Tetapi bila saya pijak kembali lantai bilik mandi saya,,terasa lantai itu seakan-akan berminyak.Adakah mandi wajib saya sah atau tidak?Mohon pencerahan ustaz.Sebab was-was saya ini betul-betul mengganggu saya.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Mandi wajib dari sudut syarak  bermaksud mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu atau mengangkat (menghilangkan) hadas besar, seperti mandi junub, mandi kerana selesai haid atau nifas dan sebagainya. Dalam melaksanakan mandi wajib ini, para ulama’ telah menetapkan bahawa rukun bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  1. Niat.
  2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, jika telah dapat dipastikan bahawa keadaan berminyak pada lantai tersebut bukan daripada lapisan minyak yang tebal sehingga menghalang dari laluan air keseluruh badan maka sahlah mandi wajib tersebut dan tidak perlu mengulanginya.Selain itu, jika terdapat kesan seperti minyak masak, cat, lumpur tebal atau apa-apa yang jelas membentuk lapisan di kulit, bersihkan dahulu. Kemudian barulah memulakan mandi wajib. Ini kerana jika benar-benar kesan minyak yang mempunyai lapisan tebal yang dipijak di lantai bilik mandi tersebut, jika tidak dibersihkan maka ianya telah menghalang dari sahnya mandi wajib tersebut . Akan tetapi jika ia hanya licin seperti sabun atau kesan lantai basah dan air masih boleh mengalir kekulit maka mandi wajibnya tetap sah dan tidak perlu mengulanginya.

Jika sekiranya telah melaksanakan ibadah dengan keyakinan terhadap kesucian diri dengan mandi tersebut, maka tidak perlu untuk mengulanginya. Disamping itu, dalam keadaan perasaan was-was yang dialami, maka hukum mandi wajib yang puan laksanakan adalah sahkerana kaedah fiqah ada menyebutkan bahawa:

 اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّك

Maksudnya: Keyakinan tidak akan terangkat dengan syak.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 59

message user image