Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah dibenarkan atau apa hukumnya sekiranya membaca atau mengaji ayat suci Al-Quran yang tersimpan di telefon bimbit?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah dibenarkan dan harus membaca al-Quran yang telah dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Walaupun belum dihukum sebagai mushaf, namun apabila dibuka maka tidak boleh menyentuh ayat-ayatnya melainkan dalam keadaan suci daripada hadas. Firman Allah SWT : لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ Maksudnya : “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci” (Al-Waaqi'ah : 79) Apabila aplikasi tersebut dibuka hendaklah menjaga penggunaannya dengan menepati adab yang telah ditetapkan oleh Islam dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat suci tersebut seperti di dalam tandas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.