Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Saya ingin mendapat pencerahan berkenaan duit zakat. Bolehkah saya memberikan duit zakat terus kepada asnaf tanpa melalui pusat zakat.
Sekian, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, zakat merupakan satu kewajipan bukan sahaja kepada individu malah juga merupakan salah satu sistem kewangan dalam masyarakat Islam yang dipantau perlaksanaannya oleh pihak pemerintah dan diuruskan secara sistematik oleh pihak dipertanggungjawabkan sama ada dari segi kutipan mahupun agihan. Secara asasnya, mengeluarkan zakat merupakan rukun Islam keempat yang menjadi tonggak utama pemangkin ekonomi dan menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik. Medium zakat ini penting supaya kekayaan harta orang kaya dapat diagihkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7:
Maksudnya: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu.
Bagi mencapai tujuan murni ini, zakat hendaklah disalurkan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 60:
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Menurut Fatwa Negeri Selangor berkaitan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian bertarikh 09 April 2007, telah menyatakan "Walaupun dari segi syara, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib". Fatwa tersebut telah diwartakan pada 7hb Jun 2007.
Sekian, terima kasih.