Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya dalam perancangan untuk merangka kembara perjalanan ke Beijing, China. Saya ingin minta pandangan, idea untuk mengekalkan status Musafir ketika keluar negara. Saya khuatir saya hilang kelayakan untuk buat jamak dan qasar kerana kembara yang panjang. Ajar saya untuk letakkan niat yang betul.
Soalan saya :
1. Saya nak tahu waktu bila Solat jamak saya bermula dan berakhir sepanjang perjalanan saya terutama berada di China.
2.Bolehkah saya buat solat jamak tamam pada 28 oct? Boleh ke jamak dan qasar? Adakah status musafir saya reset semula (menjadi hari-1) ?
3. Adakah status musafir saya reset semula (menjadi hari-1) Kerana lebih 2 marhalah?
Berikut cadangan jadual saya :
24 oct, dari johor bahru sampai di Putrajaya waktu malam (anggaran 11-12 mlm). Hanya tumpang bermalam di rumah kawan
25 oct, bertolak dari KLIA2 6:55 ptg
26 oct, sampai Daxing airport, Beijing jam 01:15 pagi. Menginap di hotel, daerah xincheng
27 oct berjalan di beijing
28 oct Day trip. Tidak bermalam. Bertolak ke Mutianyu Great Wall yang terletak di daerah Huairou jam 8;00 pagi. Masa perjalanan anggaran 1 jam 30 minit. Tapi jaraknya mungkin kurang 2 marhalah. Saya dijangka bertolak balik ke Hotel jam 3:00 petang.
29 oct berjalan di beijing
30 oct Day trip ke Tianjin. Tidak bermalam. Tapi perjalanan lebih 2 marhalah ke Tianjin... Bertolak ke Tianjin jam 07:30 pagi dan sampai di Tianjin 8:05 pagi. Perjalan balik pula. Bertolak dari Tianjin jam 08:31 malam dan sampai di beijing semula jam 09:08 malam. Di jangka sampai hotel jam 10 malam.
31 oct berjalan di beijing
01 oct check out hotel dan berjalan di beijing di siang hari. Dan gerak ke daxing airport waktu malam.
02 oct dari daxing airport, beijing 02:30 pagi. Sampai KLIA2 jam 09:00 pagi
03 oct 8:00 pagi pulang ke Johor Bharu
Terima kasih atas bantuan.
Jawapan
Tempoh dibolehkan qasar dan jamak untuk musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari tiba dan hari pulang. Jika seseorang itu berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat hari atau lebih, maka dia tidak boleh qasar dan jamak ketika sampai di tempat itu kerana dia sudah dikira bermukim. Adapun ketika masih dalam perjalanan, tiada had hari yang tetap, dan dibolehkan qasar dan jama’ sehigga sampai ke destinasi musafir.
(Rujuk Fiqh al-Manhaji, 1/187)
Manakala pada asalnya jika seseorang tidak berniat atau telah berniat menetap (di suatu tempat) kurang dari 4 hari, maka hukum musafirnya tidak terputus apabila sampai had pagar(sempadan mukim). Terputus hukum musafir dengan bermukim selama 4 hari yang sempurna.
(Rujuk 'I'anah al-Tolibin)
Oleh itu, berdasarkan jadual yang diberikan,tuan/puan boleh melaksanakan solat jamak dan qasar sebelum tiba di daerah Xincheng, Beijing (perjalanan pergi) dan selepas keluar dari daerah Xincheng (perjalanan pulang). Hal ini kerana, tuan/puan telah dianggap berniat mukim (menetap) di Xincheng, Beijing selama 5 hari yang penuh (27hb sehingga 31hb) tidak termasuk hari pergi dan pulang. Maka, tuan/puan tidak boleh melaksanakan rukhsah solat jamak dan qasar selama berada di daerah Xinceng, Beijing.
Seterusnya, disebabkan tempat mukim di daerah Xincheng, Beijing maka perjalanan ini adalah perjalanan yang baru dan tertakluk kepada jarak musafir yang baru. Oleh itu, perjalanan ke Mutianyu Great Wall yang kurang dua marhalah dari kawasan mukim tidak membolehkan tuan/puan untuk melaksanakan rukhsah solat jamak dan qasar.
Namun begitu, perjalanan ke Tianjin yang lebih dua marhalah dari kawasan mukim membolehkan tuan/puan melaksanakan rukhsah solat jamak dan qasar selepas tuan/puan keluar dari daerah Xincheng, Beijing.
Sekian, terima kasih.