Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Haritu saya ternampak jiran saya mandikan anjing dia and anjing tu telah mengibaskan badan dia sampai terpecik air mandian anjing dia kearah kawasan rumah saya. Kawasan rumah saya yang terkena air percikan adalah kawasan pili air dan kawasan itu juga merupakan kawasan keluarga saya basuh kaki atau kadang tu juga untuk ambik wudhu. Tapi saya tak sertu area kawasan itu sebab taktahu area mana yang betul betul kena. Soalan saya adakah kawasan yang terkena percikan air mandian anjing itu kena sertu?
Soalan kedua pula, macam mana pulak kalau pili air terkena tapi saya tak sertu? Ayah saya pulak sejenis suka ambik wudhu kat luar adakah najis itu telah berpindah and merebak ke kawasan dalam rumah pulak? Mohon bantu kemusykilan saya ni ustaz. Terima kasih
Jawapan
Percikan air daripada badan anjing adalah dikira sebagai najis mughalazah iaitu najis yang berat dan perlu disertu untuk menyucikannya. Walaupun begitu, perlu difahami juga najis ada berbentuk aini iaitu najis yang kelihatan warnanya, mempunyai bau dan rasa. Begitu juga ada najis hukmi iaitu diketahui kewujudan najis tersebut tetapi tidak mempunyai warna, bau dan rasa disebabkan kerana telah kering atau telah berlalu satu masa yang lama. Najis hukmi tidak dapat memindahkan najis ke tempat lain.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan, pili air yang terkena percikan air daripada anjing perlu disertu bagi menghilangkan ain najis tersebut. Melihat kepada persoalan kedua, boleh beranggapan ayah Puan mengambil wuduk di pili air dalam keadaan najis tersebut telah menjadi najis hukmi yang tidak diketahui ain najis tersebut. Oleh itu, najis tersebut tidak berpindah.
Sekian, terima kasih.